Hamas beri bantuan kecemasan di Gaza

Laporan, The Electronic Intifada, 16 Februari 2009

GAZA CITY, Semenanjung Gaza (IRIN) – Kerajaan Hamas di Gaza menyatakan sedang dalam usaha membantu ribuan rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal dan/atau ahli keluarga sepanjang 22 hari serangan Israel yang berakhir pada 18 Januari. Menurut Timbalan Menteri Hal-hal Sosial, Sobhi Redwan, dianggarkan Hamas telah membelanjakan sebanyak USD50 juta (RM175 juta) bagi tujuan bantuan kecemasan, tetapi lebih banyak bantuan yang diperlukan.

Ramai penduduk berpusu-pusu beratur di luar pejabat timbalan menteri dalam rangka mendapatkan bantuan makanan kecemasan dan mendakwa tidak mendapatkan sebarang bantuan daripada PBB dan agensi-agensi lain.

“Kami membantu semua penduduk di Gaza yang memerlukan. Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memberikan ke bantuan semasa dan selepas perang.” kata Redwan kepada IRIN pada 11 Februari.

Pihak kerajaan telah membentuk satu “komiti tertinggi negara bagi urusan bantuan” yang mengandungi wakil daripada semua kumpulan di Gaza kecuali Fatah. “Komiti ini ditubuhkan bertujuan untuk membolehkan bantuan disalurkan secara saksama kepada semua orang yang ditimpa kesusahan,” Loay Qaryuout, jurucakap komiti dan wakil Popular Front for the Liberation of Palestin (PFLP) memberitahu IRIN.

Hamas telah menyediakan senarai penduduk-penduduk yang layak dan juga waris-waris sebenar dalam rangka memastikan pengagihan bantuan yang efektif dan saksama, jelas Qaryuout.

Hamas juga telah meminta organisasi-organisasi bantuan tempatan dan antarabangsa, termasuk UNRWA (agensi PBB bagi pelarian Palestin), untuk menyelaraskan usaha bantuan dengan pihak kerajaan.

Lebih kurang 900,000 penduduk Palestin telah memohon bantuan makanan daripada UNRWA.

“Secara umumnya UNRWA mengagihkan makanan kepada pelarian-pelarian dan World Food Program membantu mereka yang bukan pelarian, walaupun terdapat pertindihan sejak berlakunya perang,” kata jurucakap UNRWA, Christ Gunness, kepada IRIN melalui telefon dari Jurusalem.

Sejak Hamas mengambil alih pemerintahan di Gaza pada bulan Jun 2007, sekatan antarabangsa dan Israel telah memaksa Hamas mencari dana untuk membiayai pentadbiran Gaza secara tidak konvensional — dengan menggunakan terowong-terowong rahsia di sepanjang sempadan Gaza-Mesir, menggunakan khidmat orang tengah tempatan, dan juga pengurup wang-pengurup wang yang mempunyai hubungan di Amman dan Kaherah, untuk mendapatkan wang yang mereka perlukan.

Bantuan Tunai

Sekitar 4,000 orang penduduk Gaza yang tempat kediaman mereka musnah menerima lebih kurang USD4,000 daripada kerajaan setakat ini. Manakala lagi 4,000 orang penduduk yang kediaman mereka mengalami kerosakan, telah menerima lebih kurang USD2,500 setiap seorang.

Lebih kurang 4,000 rumah telah musnah dan lebih kurang 17,000 mengalami kerosakan teruk akibat perang, menurut PBB Gaza.

Kerajaan menyediakan USD1,300 kepada keluarga yang kehilangan ahli keluarga; orang yang tercedera menerima USD650 setiap seorang, kata Redwan.

Hamas juga mengagihkan bantuan satu-kali sebanyak USD100 (RM350) kepada 80,000 orang penduduk yang menghadapi kesulitan sosial pada 11 Februari.

Ala, 37 tahun, penyokong Fatah dari Gaza Cita, menerima USD100 daripada kerajaan untuk isteri dan empat orang anaknya.

“Ia membantu untuk beberapa hari. Kami perlukan susu dan lampin untuk anak-anak, yang sangat mahal sekarang,” kata Ala. Tetapi menurutnya dia tidak mempunyai cukup wang untuk membaiki tangki air di bahagian atas rumahnya yang rosak dan mengganti tingkap yang pecah.

Bantuan Makanan

Pihak kerajaan menyatakan telah mengagihkan pakej bantuan makanan kecemasan — termasuk bahan asas seperti gula, minyak masak, beras, tepung, teh dan makanan dalam tin — kepada hampir semua keluarga yang hilang tempat tinggal. Mereka juga menerima alas tempat tidur dan selimut.

Bantuan satu-kali, termasuk tepung dan makanan dalam tin, juga telah diagihkan oleh kerajaan kepada 30,000 orang penduduk yang tempat kediaman mereka mengalami kerosakan.

Sebelum agresi, lebih 50 peratus daripada penduduk tinggal di bawah paras kemiskinan dan 42 peratus tiada pekerjaan. [IRIN/terjemahan HALUANPalestin]

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts