Hospital Al-Makassed Diserbu Buat Kali Ketiga

AL-QUDS, 9 Nov 2015 (Maan) — Tentera Zionis menyerang masuk Hospital Al-Makassed di Al-Quds Timur semalam, buat kali ketiga dalam tempoh dua minggu, dan mendesak supaya diserahkan rekod rawatan seorang pesakit remaja Palestin.

Pasukan polis Zionis dikerahkan ke perkarangan hospital ketika pasukan perisik tentera Zionis mencari maklumat remaja tersebut di dalam sistem komputer pihak pentadbiran hospital.

Pengarah hospital, Dr. Rafiq al-Husseini, mengecam serangan tersebut dan mendesak supaya dihentikan polisi menceroboh maklumat peribadi pesakit dan menodai prinsip asas kemanusiaan. Pihak polis bahkan mengugut untuk menjalankan siasatan ke atas doktor yang enggan melaporkan nama-nama mereka yang tercedera dalam pertempuran dengan pihak keselamatan Zionis.

Polis Zionis memberitahu para doktor bahawa undang-undang menetapkan supaya pihak hospital memaklumkan kepada mereka apabila mana-mana penduduk Palestin yang tercedera dalam pertempuran mendapatkan rawatan di situ.

29 Oktober lalu, tentera Zionis menyerang Hospital Al-Makassed dan melepaskan tembakan gas pemedih mata, grenad pelali dan peluru getah. Beberapa hari sebelum itu, pasukan khas tentera menyerang jabatan kecemasan dan menuntut untuk mendapatkan rekod seorang pesakit yang dirawat di situ beberapa hari sebelumnya.

Awal bulan lalu, pasukan tentera berpakaian preman seperti penduduk Palestin menyamar masuk dan menahan seorang pesakit Palestin di Hospital Al-Arabi di Nablus. Mereka juga menahan ambulan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin untuk menangkap pesakit yang sedang dibawa ke hospital.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts