Hospital Pakar Salam Sumbang Untuk Palestin

SHAH ALAM, 29 Dis 2012 — Kesibukan merawat pesakit tidak menghalang kakitangan Hospital Pakar Salam di sini untuk melancarkan Tabung Palestin “Salam Buat Gaza” selama dua minggu bermula 22 November lepas.

Dalam tempoh itu, RM10,000 berjaya dikutip dan satu upacara penyerahan dana kutipan itu telah disempurnakan di pusat perubatan pakar yang terletak di Seksyen 19 itu. Objektif kutipan adalah untuk mempromosi dan mengutip dana bagi membantu rakyat Palestin yang telah dizalimi dan ditindas oleh rejim zionis dalam serangan baru-baru ini.

“Kami memulakan kempen tersebut atas kesedaran bahawa rakyat Palestin sedang ditindas dalam dalam keadaan sengsara. Maka kami memulakan kutipan ini dengan mensasarkan semua warga kerja Hospital Pakar Salam, para pengunjung serta pelawat yang datang,” menurut Dr. Mohamed Nazir Abu Bakar, Pengarah Perubatan & Perunding Pediatrik pusat tersebut.

Beliau menyatakan rasa terima kasih dan berbesar hati di atas kerjasama itu dan berhasrat membantu HALUAN Malaysia untuk menyediakan bantuan daripada segi aspek perubatan ke Palestin.

Hasrat beliau itu disambut baik oleh Ketua Biro HALUAN Palestin, Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hassan al-Haddad yang hadir semasa majlis penyerahan. Menurut beliau, kerjasama di antara HALUAN dengan Hospital Pakar Salam telah dipersetujui pada 21 November 2012 bilamana HALUAN telah menyediakan tabung khas untuk ditempatkan di hospital berkenaan di cawangan Shah Alam dan Senawang.

“Sebagai sebuah NGO berdaftar, HALUAN berterima kasih di atas kerjasama yang diberikan oleh Hospital Pakar Salam dari aspek promosi dan kutipan dana. Kami sentiasa berharap lebih banyak aktiviti bersama dapat kita jalankan dengan pihak hospital ini pada masa akan datang . Semoga lebih banyak badan korporat akan dapat mencontohi usaha murni yang dijalankan oleh staf hospital ini sebagai memenuhi Tanggungjawab Sosial Korporat mereka,” tambah Dr Syed Haleem.

Sumbangan terus melalui HALUAN Malaysia boleh dibuat kepada “Tabung HALUAN Palestin” di Bank Islam Malaysia Berhad 14 023 01 003429 2 atau Maybank Berhad 5644 9020 8528.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan melalui talian 019-218 7861 atau 013 282 0731.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts