Ibadah korban anda mengubat hati penduduk Gaza di tengah cengkaman sekatan Zionis

BANDAR BARU BANGI, 3 Ogos 2020 — Sekalipun penduduk Gaza sudah biasa dengan sambutan Aidil Adha secara amat sederhana sejak dikepung oleh rejim Zionis 14 tahun lalu, perayaan pada tahun ini lebih muram akibat sekatan semakin mencengkam serta krisis pandemik Covid-19.

Keadaan ekonomi di Gaza semakin teruk, bahkan pekerja awam tidak mendapat bayaran gaji mereka sejak bulan Mac lalu. Majoriti penduduk tidak mampu membeli haiwan untuk menjalankan ibadah korban.

Alhamdulillah, usaha kecil masyarakat Malaysia melaksanakan ibadah korban di Gaza pada tahun ini dapat mengubat hati dan mengukir sedikit keriangan dalam kalangan keluarga miskin Palestin menyambut Aidil Adha.

Menerusi penyertaan Program Ibadah Korban HALUAN 1441H, sebanyak 52 ekor kambing telah berjaya disembelih korban di samping empat ekor lagi sebagai sedekah daging.

Menurut penyelia korban bagi Palestin dan Syria, Ustaz Abu Bakr Mohd Sidek, sebanyak 65 ekor kambing turut disembelih sebagai ibadah korban serta seekor kambing sedekah daging untuk keluarga pelarian di utara Syria.

Ustaz Abu Bakr merakamkan jutaan penghargaan kepada semua peserta yang menjayakan program tahunan ini, sekaligus memberi nilai tambah kepada usaha bantuan berterusan masyakarat Malaysia untuk penduduk Palestin dan Syria melalui HALUAN. “Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang telah berkorban untuk saudara mara kita di Palestin dan Syria. Semoga Allah menerima korban kita semua pada tahun ini,” ucap beliau melalui Media HALUAN.

Oleh kerana kekangan pergerakan akibat pandemik Covid-19, pelaksanaan korban tahun ini telah disempurnakan oleh sukarelawan dan rakan NGO, Al-Sarra Foundation, yang beroperasi di lokasi-lokasi terbabit.

(BHP)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts