Ibu muda maut ditembak ketika cuba selamatkan anak-anak

JENIN, 8 Ogos 2020 — Seorang ibu maut selepas cedera ditembak oleh tentera Zionis ketika cuba menyelamatkan dua anak kecilnya dalam serangan tentera Zionis di daerah al-Jabriat, Jenin, sebelum Subuh pagi semalam.

Dalia Ahmed Soleiman Samudi, 23, ditembak dengan peluru hidup di bahagian dada dan dikejarkan ke unit rawatan rapi untuk pembedahan, namun tidak berjaya diselamatkan.

Ketika kejadian, Dalia bangun untuk menyediakan susu kepada bayinya. Pada waktu itu, tentera Zionis sedang menggempur kawasan berdekatan rumanhya, memecah masuk rumah-rumah sambil melepaskan tembakan peluru hidup dan gas pemedih mata ke arah kumpulan pemuda Palestin.

Sambil mendukung bayinya, Dalia cuba menutup tingkap bagi menghalang gas pemedih masuk ke dalam rumahnya. Ketika itulah beliau ditembak.

Kenyataan Pertubuhan Bulan Sabit Merah di Jenin menyebut bahawa tentera Zionis turut menembak ambulan yang berkejar untuk membawa mangsa ke hospital. Sebutir peluru hidup menembusi ambulan, hampir terkena seorang petugas perubatan.

(Palinfo, PNN)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts