Yayasan Bantuan Kemanusiaan IHH akan menghantar kapal membawa barangan bantuan sebanyak 1000 tan ke Gaza. Kapal ini akan belayar pada 31 Mei, tarikh ulang tahun pertama serangan Israel ke atas Mavi Marmara dan kapal-kapal Freedom Flotilla yang lain, yang telah mengorbankan sembilan aktivis kemanusiaan. Pelayaran ini akan membawa bahan binaan, produk tekstil dan ubat-ubatan untuk rakyat Gaza yang masih lagi berhadapan dengan krisis kemanusiaan yang serius.
Kapal ini akan belayar sebelum pelayaran besar Freedom Flotilla Two – Stay Human, dan dijangka berlabuh di Pelabuhan El-Arish, Mesir. Bantuan ini seterusnya akan dibawa masuk ke Gaza menggunakan lori melaui pintu Rafah, yang dibuka untuk warga Gaza selepas revolusi awam di Mesir.
Walaupun sempadan Rafah dibuka untuk rakyat Palestin, barang yang dibenarkan masuk masih tidak cukup untuk memenuhi keperluan warga Gaza. Sekitar 20,000 bangunan yang rosak akibat serangan Israel pada tahun 2008 masih belum diperbaiki. Bangunan ini termasuk sekolah, rumah, rumah sakit dan juga bangunan perkhidmatan. Bahan binaan yang bakal dihantar ke Gaza oleh IHH akan digunakan untuk penyelenggaraan bangunan-bangunan tersebut.
Menurut kenyataan di laman web rasminya, IHH mengharapkan sokongan daripada semua dermawan bagi menjayakan pelayaran kapal ini. Mereka berharap supaya warga Turki yang selalu menghulurkan tangan mereka untuk membantu warga Gaza juga akan membantu memuatkan kapal ini dengan sumbangan mereka. “Kita akan sekali lagi menunjukkan bahawa kita sentiasa bersama-sama rakyat Gaza dengan memuatkan bantuan ke atas kapal ini,” menurut kenyataan tersebut.