Israel berusaha supaya UNRWA ditutup

Rejim pengganas Israel akan mengusulkan petisyen di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) supaya Agensi Bantuan dan Kerjaraya PBB (United Nations Relief and Works Agency – UNRWA) ditutup. Menurut laporan yang telah diterbitkan oleh akhbar Israel Hayom semalam, Rabu 23 November 2011, usul ini merupakan satu usaha rejim tersebut untuk menghentikan perdebatan masyarakat dunia mengenai isu pelarian Palestin.

UNRWA yang telah ditubuhkan pada tahun 1949 merupakan salah satu agensi utama yang memberikan bantuan keperluan asas, pekerjaan, guaman dan kesihatan kepada lebih 5 juta pelarian Palestin di serata dunia.

Inisiatif untuk menutup UNRWA ini diketuai oleh seorang menteri Israel bernama Einat Wilf, yang mewakili parti politik pimpinan Menteri Pertahanan, Ehud Barak. “Agensi ini tidak diperlukan,” sebut Einat Wilf kepada akhbar Israel Hayom. “Pelarian-pelarian lain di seluruh dunia tidakpun diiktiraf sebagai pelarian sejak dari generasi ke generasi. Saya sokong bantuan pendidikan dan kesihatan oleh PBB kepada rakyat Palestin, tetapi tidak harus melalui agensi yang mengganggu proses perjanjian damai,” sambung menteri rejim pengganas itu lagi.

Mengikut penafsiran PBB, mana-mana rakyat Palestin yang dipaksa meninggalkan kampung halaman mereka pada tahun 1948 adalah merupakan seorang pelarian, begitu juga anak-cucunya. Israel merupakan satu-satunya negara di dunia ini yang mempertikai penafsiran tersebut. Israel juga mendakwa bahawa jumlah pelarian Palestin hanyalah seramai 250 ribu orang.

Dalam pada itu, UNRWA telah mengumunkan bahawa agensi tersebut akan membuka dua buah pusat kesihatan baru di Gaza, iaitu di kem-kem pelarian Jabaliya dan Nuseirat. Menurut kenyataan media UNRWA yang dikeluarkan pada hari Rabu 23 November, kedua-dua pusat tersebut dibiayai oleh kerajaan Jepun, dengan jumlah sumbangan sebanyak USD 2juta. Seramai 175,000 pelarian akan mendapat manfaat daripada pusat-pusat baru tersebut. Terdapat lebih kurang 1.1 juta pelarian di lapan buah kem pelarian di Gaza, iaitu tiga per empat daripada penduduknya.

Pengarah Kesihatan UNRWA, Dr Akihiro Scita, berkata, “saya merasa gembira kerana walaupun begitu banyak kesusahan yang kami hadapi di Gaza, UNRWA dapat mengumumkan pembukaan dua buah pusat ini yang memberikan khidmat yang sangat penting kepada mereka yang malang di Timur Tengah ini. Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada rakyat dan kerajaan Jepun di atas kemurahan hati mereka.”

Jepun merupakan negara yang ke-9 terbesar memberi bantuan kepada UNRWA, di mana sumbangan tahunan lebih dari USD 20 juta.

————

Sumber maklumat: UNRWA, Israel Hayom, Palestine News Network

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts