Israel Memang Merancang Untuk Membunuh Di Atas Kapal Mavi Marmara: Noorazman Shamsudin

Kuala Lumpur,  6 Jun – Ketua misi Life Line For Gaza (LL4G) Noorazman Mohd Samsuddin berkata penggunaan peluru getah adalah sebagai alasan semata-mata kerana terdapat bukti pihak Israel memang berniat membunuh pihak tertentu yang ada di atas Mavi Marmara.

Noorazman dan sebelas lagi sukarelawan Malaysia berada dalam kapal Mavi Marmara yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza ketika diserang tentera Israel Isnin lepas.

Katanya, beliau dan tiga rakan aktivis – Abdul Halim Mohd Redzuan, Hasanuddin Mohd Yunus dan Jamuliddin Elias – turut ditembak dengan peluru getah dan mengenai masing-masing di bahagian kepala, belakang dan paha.

“Saya ada bukti yang mereka mempunyai niat untuk membunuh. Menggunakan peluru getah hanya sebagai alasan sahaja,” katanya dalam sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sejurus tiba di tanah air awal pagi ini.

“Mereka mempunyai senarai nama yang mereka mahu bunuh sebelum naik ke kapal.

“Kami telah menahan tiga anggota tentera dan apabila kami melakukan pemeriksaan, kami temui senarai nama berserta gambar orang yang mereka mahu bunuh.

“Sesetengah daripada mereka ialah tokoh Turki dan antarabangsa… tokoh-tokoh penting dunia. Kami tidak termasuk dalam senarai sebab itu kami tidak ditembak. Kami hanya orang biasa. Salah seorang media Turki yang ditembak memang ada di dalam senarai itu,” katanya.

Beliau berkata ketika serangan pada waktu Subuh itu, wakil media telah menunjukkan keberanian dengan terus merakamkan kejadian itu tanpa menghiraukan keselamatan mereka walupun ketika itu dihujani peluru.

“Ketika kami diserang selepas waktu solat Subuh, rakan media telah menunjuk keberanian dan kekuatan mereka tanpa menghiraukan perkara membahayakan mereka dengan peluru ketika itu seperti hujan.

“Mereka cuba merakam sebanyak mungkin untuk tujuan memberikan kesedaran dan maklumat kepada seluruh dunia.”

Malah katanya seorang wartawan Indonesia yang dikenali sebagai Suria telah ditembak peluru hidup di dada kanannya.

Namun dalam keadaan kritikal itu beliau masih cuba mendapatkan maklumat-maklumat yang ada walaupun selepas itu maklumat itu telah dirampas.

Noorazman amat mengharapkan bantuan media untuk menekan Israel bagi menyerahkan bantuan kemanusiaan itu kepada penduduk Gaza melalui Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“Kita harapkan rakan media yang ada dapat terus membantu usaha kita untuk membebaskan penderitaan yang dialami rakyat Palestin ini.” (uo)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts