Israel terus menceroboh Gaza

Israel telah bertindak melancarkan satu lagi siri pencerobohan ke atas Gaza. Kali ini, askar-askar Zionis Israel memasuki kawasan Al Qurara di timur Khan Younis.

Menurut laporan berita PressTV, kereta-kereta kebal dan jentolak-jentolak tentera Israel memasuki sehingga kira-kira 500meter ke dalam daerah Khan Younis pada awal hari Khamis, 8 April. Mereka memusnahkan tanah-tanah penduduk dan ladang di kawasan yang dimasuki.

Dalam perkembangan berkaitan, berita International Middle East Media Center (IMEMC) menyebut bahawa sebuah kenderaan tentera Zionis Israel telah diserang dengan roket ketika mereka cuba memasuki semula Khan Younis. Kenderaan tersebut bergerak dalam misi menyelamatkan sebuah jentolak tentera yang rosak ketika menjalankan operasi memasuki daerah berkenaan.

Akhir bulan lepas, tentera Zionis Israel memasuki kawasan selatan Qarara dan seterusnya menakluk kawasan Dair al-Balah, di tengah Gaza. Kejadian tersebut berlaku hanya beberapa hari selepas kenderaan yang lengkap bersenjata Israel memasuki kawasan selatan Khan Younis, yang mengakibatkan seorang rakyat Palestin terbunuh dan beberapa orang yang lain tercedera.

Gaza telah sekian lama dikepung menjadi penjara terbesar di dunia. Zionis juga mengenakan embargo yang berterusan sejak lebih lima tahun lalu, di mana tidak siapa dibenarkan masuk ke Gaza, dan tidak siapa juga dibenarkan keluar dari Gaza, tanpa kebenaran mereka.

Jalan masuk melalui laut dipantau oleh armada tentera laut Zionis, di mana nelayan-nelayan Gaza hanya dibenarkan keluar sehingga 3 batu nautikal sahaja, itupun tertakluk kepada budi-bicara tentera laut Zionis Israel.

Lapangan terbang antarabangsa Yasser Arafat telah ditutup sejak tahun 2001 apabila landasan, menara kawalan dan stesen radar musnah dalam serangan Israel. Pada bulan Januari 2002, lapangan terbang tersebut tidak dapat digunakan sama sekali apabila jentolak-jentolak Israel memusnahkan semua landasan di situ — satu-satunya lapangan terbang yang ada di Gaza.

Manakala di darat pula, Gaza dipisahkan dari dunia luar dengan terbinanya tembok pemisah Aparthied di sepanjang sempadan antara Gaza dan Negara Haram Israel sejak tahun 1994. Mesir juga mengikut jejak langkah Zionis Israel dengan membina tembok besi sepanjang 7km sempadannya di Rafah.

Setelah dikepung dan diembargo sedemikian rupa, Zionis secara berterusan menceroboh masuk ke Gaza, merosakkan bangunan dan ladang, dan terus membunuh orang awam yang cuba menyelamatkan harta, keluarga, tanah air dan maruah mereka. Adakah lagi jenayah lain sehebat ini dalam sejarah dunia moden ini? Sedangkan dunia terus membutakan mata mereka, dan dengan penuh rela hati mengizinkan Zionis menghina tamadun manusia.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Related Posts