BANDAR BARU BANGI, 30 Jun 2014 — Program Ramadhan Bersama Huffaz Palestin, Syria dan Kemboja kini mengorak langkah dengan tibanya bulan Ramadhan 1435H semalam. Kesyukuran dan kegembiraan kita menyambut Ramadhan diserikan lagi dengan ketibaan para imam dan huffaz jemputan yang bakal bersama masyarakat Islam di Malaysia sepanjang bulan mulia ini.
Sebahagian daripada para imam atau huffaz telah tiba di negeri-negeri, di mana mereka memulakan jadual aktiviti melalui solat terawih, sesi tazkirah dan kunjugan hormat.
Di Pulau Pinang, Sheikh Mohannad Faraq mengadakan kunjungan hormat kepada Mufti Pulau Pinang, Sahibus Samahah Dr. Wan Salim bin Wan Mohd Noor. Beliau yang diiringi oleh Ketua Biro HALUAN Palestin Cawangan Pulau Pinang, Abdul Halim Khudri, telah menyampaikan cenderahati kepada pejabat Mufti.
Di Johor, Syeikh Ibrahim Dolkari telah menyampaikan tazkirah di Masjid An-Nur Kampong Bahru, Senggarang.
Manakala Sheikh Muhammad Mahmud telah berkongsi ilmu bersama para jamaah di Masjid Ghufran, Manjoi, Perak.
Terdahulu pada hari Khamis lalu, sesi penerangan dan meraikan ketibaan sebahagian daripada para huffaz telah diadakan di Asrama HALUAN Penyayang di Shah Alam.
Masyarakat disaran merebut kesempatan bersama mereka dalam majlis ilmu pengajian al-Quran, perkongsian maklumat dan pengalaman serta solat terawih.
Orang ramai atau jawatankuasa masjid serta surau boleh menghubungi pihak urusetia program bagi mendapatkan maklumat lanjut atau menyusun jadual program di tempat mereka. Sila hubungi talian En Muhammad Mus’ab di talian 03 5166 0599 atau 010 537 8303.