Jangan Bersabar Jika Masjid Al-Aqsa Dihina – Qardhawi

DOHA, 7 Nov 2014 (PIC) — Sheikh Al-‘Allaamah Yusuf Qardhawi, Ketua Persatuan Ulamak Islam Sedunia menyeru umat Islam di seluruh dunia supaya turut bergerak dan berinfak demi memenangkan Masjid al-Aqsa al-Mubarak.

Dalam kenyataan rasmi Persatuan Ulamak Islam Sedunia yang disiarkan oleh Palestinian Information Center (PIC) pagi tadi, Sheikh Qardhawi menyarankan seluruh ulamak agar menyampaikan kepada umat Islam tentang kepentingan Masjid al-Aqsa, sambil menyebut bahawa apa jua usaha sekalipun harus dilakukan demi menyelamatkan masjid mulia itu.

“Saya menyeru kepada seluruh pemimpin, tinggalkan sejenak kepentingan-kepentingan peribadi dan kerusi kepimpinan kamu. Mari ikut berjuang membela Masjid al-Aqsa. Kepada masyarakat, tolong-menolonglah di antara kamu untuk mengajak para pemimpin bersatu dan bekerjasama membela Masjid al-Aqsa,” katanya.

Beliau juga menyeru supaya seluruh rakyat Palestin terus berjuang memenangkan Masjid al-Aqsa. “Bagi yang sanggup berjuang di al-Quds yang terjajah, lakukanlah. Bagi yang mampu sampai ke Masjid al-Aqsa, berjuanglah dan menangkanlah. Saya serukan kepada seluruh umat Islam di dunia, mari dukung, bantu dan menangkan rakyat Palestin dengan apa sekalipun yang mereka perlukan.”

Sheikh Qardhawi menegaskan, seluruh umat Islam tahu dan merasakan apa yang dideritai oleh rakyat Palestin. Mereka dizalimi dan ditindas, diperlecehkan dan disiksa, mendapat layanan yang tidak berperikemanusiaan dan dijajah dalam semua lapisan kehidupan. Tetapi, mereka masih boleh bertahan dan bersabar, serta berjuang.

Beliau berkata lagi, “Kami tidak boleh bersabar lagi jika Masjid al-Aqsa, masjid yang Allah berkati sekitarnya, kiblat pertama umat Islam, tempat Rasulullah SAW diisrakkan, serta masjid ketiga Islam diserang, diperlecehkan dan dinodai.”

Dalam beberapa hari kebelakangan ini Masjid al-Aqsa secara berterusan diserang dan dinodai oleh rejim Zionis. Rabu lalu, buat pertama kali sejak tahun 1967 askar-askar Zionis dengan memakai kasut telah memasuki dan mengotori mihrab-mihrab Solahudin al-Ayyubi serta menyerang para jemaah.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on email
Email

Related Posts