Jejak Flotilla di Tamu Hill Park…

13 November 2010 – Jejak Flotilla terus melebarkan sayap menaburkan informasi terkini dan imbauan sejarah buat masyarakat. Kali ini bertempat di Surau At Taqwa Tamu Hill Park Batang Kali di daerah Hulu Selangor, Ketua konvoi flotilla dari Malaysia Tuan Hj Noor Azman Shamsudin berserta petugas HALUAN Palestin telah bertamu bersua rasa dengan penduduk setempat dalam misi memberi kesedaran berhubung isu Palestin.

Dihadiri lebih kurang 150 orang ahli qariah daripada pelbagai peringkat umur menyaksikan ruang maklumat berhubung isu Palestin terus segar dalam jiwa. Bumi Palestin selain kiblat pertama bagi umat Islam juga disebut berulang kali di dalam Al Quran menunjuk peri pentingnya Al Aqsa. Menyentuh perjuangan umat Islam Palestin mempertahan kemelut kelukaan itu; Tuan Hj Noor Azman menekankan bahawa sensitiviti umat Islam wajib sampai ke tahap meletakkan keyakinan betapa pentingnya mempertahankan rantau itu. Menyimpulkan saat ini merupakan kebangkitan ketiga rakyat Palestin dalam penentangan dan mempertahankan Al Aqsa sejak pendudukan haram zionis pada 1948 dan kini, pengganas zionis sedang berhadapan tidak sahaja umat Islam di Palestin malah masyarakat dunia keseluruhannya.

Flotilla Mavi Marmara adalah pemangkin kepada cetusan kesedaran masyarakat dunia tentang peri kejamnya zionis dan menayangkan babak intelek kebinatangan mereka menangani satu misi kemanusiaan yang langsung tidak membawa senjata untuk berlabuh di perairan Gaza. Babak kuno dan kejam mereka di perairan antarabangsa sehingga kini gagal untuk dibawa ke muka pengadilan. Ini menyaksikan betapa sistem kehidupan hari ini yang meminggirkan Al Quran dan As Sunnah sebenarnya gagal menangani isu hak asasi manusia. Sistem perundangan yang tersedia hari ini dengan tersusunnya menjaga kepentingan zionis secara tanpa sedar.

Menyentuh aspek keazaman, anak-anak Palestin sungguhpun serba kekurangan masih mampu untuk menghafal Al Quran dalam masa 2 bulan dan rencana pendidikan di bumi Palestin segar dengan menjadikan Al Quran syarat utama untuk kehadapan. Fenomena ini menjadikan jiwa mereka kental berbanding tentera zionis yang nyata lemah dan hanya berani berhadapan dengan penduduk Palestin dari belakang tembok yang mereka bina.

Misi yang seterusnya telah dirancang dan bakal menyaksikan gerombolan yang lebih besar akan memecah embargo kejam regim zionis. Pelbagai kemungkinan boleh berlaku dalam kekalutan zionis cuba mempertahan apa yang mereka rampas. Rancangan Israel Raya mereka bakal berhadapan penentangan total umat Islam. Namun begitu, sebagai umat Islam, kelukaan saudara kita di rantau perlu kita rasai yang dukungi agar langkah mereka akan tetap utuh. Berilah sumbangan dalam apa bentuk sekalipun hatta hanya doa yang tulus dan ikhlas.

Mengakhiri kunjungan di Tamu Hill Park, Tuan Hj Noor Azman menyeru agar kita semua terus mencari alternatif apabila berhadapan dengan produk yang terbukti memberi sumbangan langsung kepada ekonomi zionis Israel. Memperkenalkan minuman coklat Smylo yang diedarkan oleh HALUAN Palestin dan diuruskan dengan menyalurkan 30 peratus keuntungan kepada dana bantuan, sokongan dan pembangunan masyarakat penjaga bumi Palestin. – MEDIAHALUANRAWANG

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts