Jemaah berjaya desak polis Zionis buka semula Pintu al-Rahma

BAITULMAQDIS, 19 Feb 2019 — Jemaah Masjid al-Aqsa berjaya mendesak polis penjajah Zionis membuka semula pagar Pintu al-Rahma di perkarangan Masjid al-Aqsa, 24 jam selepas menutupnya.

Jabatan Wakaf mengesahkan bahawa polis Zionis telah membuka kunci dan rantai besi yang dipasang di pagar besi laluan masuk ke bangunan Pintu al-Rahma, di sebelah timur tembok Kota Lama Baitulmaqdis. Menurut Jabatan Wakaf, krisis tersebut diselesaikan hasil campur tangan kerajaan Jordan.

Pintu al-Rahma merupakan sebahagian daripada binaan di perkarangan Masjid al-Aqsa, yang semuanya berada di bawah kuasa kerajaan Jordan.

Pintu al-Rahma merupakan sebuah bangunan yang terletak di timur perkarangan Masjid al-Aqsa. Rejim Zionis menutupnya pada tahun 2003, yang ketika itu menjadi ibu pejabat Jawatankuasa Warisan Islam, atas tuduhan dijadikan pusat aktiviti politik. Pada tahun 2017, mahkamah Zionis mengarahkan bangunan itu ditutup sehingga dimaklumkan semula.

(Maan, PIC)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts