Jenazah wanita dan remaja yang ditahan selamat dikebumikan

AL-QUDS, 17 Mei 2016 (Maan) — Beberapa orang penduduk Palestin berarak mengiringi upacara pengkebumian wanita Palestin Fadwa Abu Teir, 51, dan remaja Muataz Uweisat, 16, di al-Quds setelah pihak berkuasa rejim menyerahkan jenazah mereka yang ditahan sejak berbulan lalu.

Jenazah Fadwa diserahkan kepada keluarganya di hadapan masjid perkampungan Um Tuba di selatan al-Quds tengah malam tadi. Pihak tentera mengepung ketat kawasan tersebut.

Dua jam selepas beliau selamat dikebumikan, tentera Zionis menyerahkan jenazah Muataz kepada keluarganya di kejiranan Jabal al-Mukabbir. Beliau dikebumikan di tanah perkuburan Bab al-Rahmah di luar tembok timur Kota Lama.

Rejim Zionis hanya membenarkan tidak lebih 45 orang hadir ke upacara pengkebumian kedua-dua jenazah, di samping mengharamkan laungan takbir Allahu Akbar. Setiap keluarga mereka juga dikenakan bayaran 20,000 shekel (RM21,370) sebagai cagaran bagi memastikan mereka mematuhi syarat yang dikenakan.

Fadwa ditembak mati pada 8 Mac lalu di Kota Lama al-Quds apabila beliau dituduh cuba menikam seorang pegawai Zionis. Bagaimanapun tidak ada sesiapa yang tercedera dalam dakwaan insiden tersebut. Pihak tentera menghalang doktor Bulan Sabit Merah Palestin daripada memberi bantuan kepada Fadwa, yang dibiarkan terlantar berdarah sehingga meninggal dunia.

Manakala Muataz ditembak mati pada 17 Oktober 2015 selepas dituduh cuba membuat serangan menikam di penempatan haram Armon Hanatziv. Juga tidak ada Yahudi yang tercedar dalam dakwaan kejadian tersbut. Tentera Zionis menyekat remaja tersebut dan memerika kad pengenalan beliau, kemudian dengan tidak semena-mena mendakwa beliau membawa sebilah pisau.

Pihak perisikan Zionis masih menahan sekurang-kurangnya 17 jenazah penduduk Palestin yang mereka bunuh sejak Oktober 2015, termasuk 11 dari al-Quds.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts