Jurnalis Yahudi dipecat kerana bersimpati dengan penduduk Palestin

RAMALLAH, 19 Jan 2017 (PIC) — Stesen radio tentera Zionis memecat jurnalis wanita Yahudi, Khen Elmaleh, atas alasan beliau mengkritik pihak rejim yang memusnahkan lapan buah rumah penduduk Badwi di Umm al-Hiran dan bersimpati dengan nasib Yaqub Musa Abu Qi’an yang dibunuh oleh polis dalam insiden tersebut.

Dalam kejadian awal pagi semalam di perkampungan Badwi di Gurun Naqab itu, pasukan keselamatan Zionis bertempur dengan melepaskan tembakan ke arah penduduk yang membantah perobohan rumah mereka. Yaqub Musa, 34, cuba beredar dari tempat kejadian dengan menaiki keretanya, tetapi ditembak sehingga terbabas dan terlanggar dua orang pegawai polis. Salah seorang daripada pegawai polis terbunuh, manakala Yaqub Musa ditembak mati.

Dalam tulisan beliau di laman sosial Facebook, Elmaleh menulis, “Saya juga akan melanggar pegawai polis jika saya dihalau dari rumah saya semata-mata untuk memberi laluan kepada pembinaan sebuah bandar untuk mereka yang lebih berkuasa daripada saya [merujuk kepada polis Zionis yang menembak Yaqub Musa].”

Umm al-Hiran adalah salah satu daripada 35 buah perkampungan Badwi yang tidak diiktiraf oleh rejim Zionis. Perkampungan terbabit akan dimusnahkan untuk membina sebuah bandar baharu khusus bagi pendatang Yahudi.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts