Kekejaman dan pencabulan di penjara Israel berterusan

Gerakan-gerakan perlawanan Palestin akan menangkap lebih ramai tentera Zionis Israel untuk dijadikan tahanan sekiranya dunia terus tidak memperdulikan isu penyeksaan yang berterusan dilakukan ke atas tahanan Palestin di dalam penjara-penjara dan pusat-pusat tahanan tentera Zionis Israel.

Khamis lalu, Jurucakap Kanan Kerajaan Gaza, Sami Abu Zuhri menyebut bahawa dunia hanya memberi perhatian kepada  dengan isu pembebasan Gilad Shalit, tetapi mereka tidak lansung mengendahkan rakyat-rakyat Palestin yang disiksa dan terus menderita di dalam penjara-penjara Zionis Israel.

“Sekiranya penyiksaan ini berterusan dan dunia terus tidak menghiraukan perkara ini, kami terpaksa mencari ‘teman-teman baru’ untuk Shalit”, tegas beliau memberi amaran.

Sementara itu lebih 7000 orang tahanan di 13 buah pusat tahanan tentera Israel melancarkan mogok lapar bagi membantah penyiksaan, penodaan dan pelbagai lagi perlanggaran hak asasi manusia ke atas mereka. Kenyataan akhbar The Palestinian Prisoners Club (Nadi Al-Asir) menyebut seramai lebih 7000 tahanan lelaki dan wanita di 10 buah penjara dan 3 buah kem tahanan tidak akan mengambil makanan yang disediakan. Mereka akan meneruskan mogok ini pada 17 dan 27 April sekiranya keadaan dan layanan di penjara tidak berubah.

Menurut laporan Palestinian Information Center (PIC) pula, mereka menerima laporan kes-kes penderaan dan penafian hak terhadap ahli-ahli kelurga yang datang menziarahi tahanan. Terdapat juga laporan bahawa pihak Zionis Israel menghalang keluarga daripada menziarahi tahanan atas alasan-alasan keselamatan yang tidak berasas.
PIC turut mengecam tindakan Israel menghalang media-media Arab daripada menemui tahanan Palestin, mengharamkan buku-buku di pusat tahanan dan juga menafikan hak tahanan untuk menduduki peperiksaan akhir persekolahan.

Menurut Ketua Jabatan Perangkaan di Kementerian Hal Ehwal Tahanan Palestin, Abdul Nasser Farawna, Israel memenjara seramai 7,300 orang Palestin. Mereka termasuklah lebih 360 orang kanak-kanak, 33 orang wanita, 17 ahli politik dan 2 orang bekas menteri.

Tahanan Palestin telah beberapa kali mengadakan protes mogok lapar sejak Zionis mula menakluk daerah-daerah Palestin pada tahun 1967. Adbulqader Abu Al-Fahem merupakan tahanan yang pertama meninggal dunia selepas 15 hari menjalankan mogok lapar di penjara Asqlan pada tahun 1970. Pada tahun 1980, tiga tahanan iaitu Rasim Halaweh, Alial-Ja’fari dan Ishaq Maragheh meninggal dunia setelah berlapar selama 32 hari. Terkini, Anees Douleh dan Hussein Obaidat juga meninggal dunia pada tahun 1992 selepas 15 hari melancarkan mogok lapar.

Sebagai respon terhadap “mogok lapar” yang telah dilancarkan oleh tahanan Palestin dalam Penjara Israel pada 15 Ogos 2004, Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi telah menyeru: “Mereka adalah pejuang keadilan! Mogok (lapar) adalah hak mereka yang telah diiktiraf yang bertujuan untuk membongkar segala bentuk kezaliman dan kejahatan yang dilakukan ke atas mereka! Oleh itu menjadi kewajipan ke atas setiap orang Islam untuk memberikan sokongan padu kepada mereka mengikut kemampuan masing-masing samada secara sokongan aman, demontrasi atau sokongan moral termasuklah secara mogok lapar! atau menghantar telegram dan mengeluarkan kenyataan rasmi untuk merasakan dan menzahirkan bahawa kita adalah senantiasa bersama-sama dengan mereka!”

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Related Posts