Keluarga Palestin dipaksa keluar tinggalkan rumah mereka

AL-QUDS, 5 Sep 2017 — Pasukan polis Zionis awal pagi tadi memaksa keluarga Shamasna keluar meninggalkan rumah mereka di kejiranan Sheikh Jarrah di kota al-Quds, dengan mendakwa rumah tersebut adalah milik pendatang Yahudi.

Setelah semua 10 ahli keluarga Shamasna selesai memindahkan perabut dan barangan ke atas lori, segerombolan pendatang Yahudi yang diiring oleh pasukan polis Zionis menyerbu masuk rumah tersebut dan mengunci semua pintu.

Pemilik rumah Haj Ayoub Shamasna, 82, menyelar tindakan rejim yang memecah masuk rumahnya itu tanpa memberi sebarang notis, kemudian membaling semua barangan keluarganya ke atas jalan.

Keluarga Shamasna tinggal di situ sejak tahun 1964. Pengusiran tersebut hanyalah berdasarkan kepada dokumen palsu yang diserahkan oleh pendatang Yahudi kepada mahkamah Zionis.

Puluhan keluarga Palestin di Sheikh Jarrah berhadapan dengan ugutan dihalau keluar kerana pihak rejim merancang untuk membina sebuah pos penempatan haram di situ.

(Maan, MEMO)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts