Keluarga Palestin terpaksa tinggal dalam gua setelah tentera Zionis musnahkan rumah mereka

NABLUS, 2 Mac 2017 (Anadolu) — Majid Hanani, 64, serta beberapa keluarga jirannya terpaksa berlindung hidup di dalam beberapa buah gua di perkampungan Tana di timur kota Nablus apabila rumahnya berulang-ulang kali dimusnahkan oleh tentera Zionis.

Rumah Majid serta 300 orang penduduk Palestin yang lain kali terakhir dimusnahkan pada awal tahun ini atas alasan dibina tanpa kebenaran.

“Hidup dalam gua memang sangat sukar, tidak ada sebarang kemudahan, tapi kami tidak ada pilihan lain. Kami bina rumah dan akhirnya buldozer Zionis datang memusnahkannya,” kata Hanani. Rumah mereka dimusnahkan lebih daripada 20 kali.

Beliau sentiasa dalam kebimbangan, di mana tentera Zionis ataupun pendatang Yahudi boleh datang mengganggu pada bila-bila masa.

Beliau menunjuk ke arah sebuah pos penempatan haram di atas sebuah bukit berdekatan sambil berkata, “Itu adalah seorang pendatang Yahudi yang datang beberapa tahun lalu dengan karavannya. Hari ini, dia sudah membina sebuah ladang untuk menternak haiwan.”

“Dia membina pos penempatan haram di situ. Sekarang dia merancang untuk meluaskan kawasannya, termasuk di atas tanah yang kami diami sejak sebelum bermulanya penjajahan pada tahun 1967.”

Bulan lalu, parlimen Zionis meluluskan satu undang-undang yang membenarkan pos penempatan Yahudi di bina di atas tanah Palestin di Tebing Barat, walaupun ianya jelas mencabul undang-undang antarabangsa.

Sejak awal tahun 2017, rejim Zionis telah meluluskan pembinaan lebih 7,250 unit rumah baharu khusus untuk Yahudi di al-Quds Timur dan Tebing Barat.

Hanani menternak sekitar 200 ekor biri-biri dan menyara hidup dengan hasil jualan susu dan juga keju yang diusahakan oleh isterinya.

Mereka tinggal di dalam sebuah gua dengan dua buah katil kecil, tempat letak sebuah televisyen yang menggunakan tenaga solar, dan sebuah dapur.

“Oleh kerana mereka kerap memusnahkan rumah, kami jangka terpaksa hidup di sini hampir seluruh hayat kami,” kata beliau.

Dalam sebuah lagi gua yang berdekatan, Fursan Hasan, 59, tinggal bersama keluarganya dalam keadaan yang hampir sama dengan keluarga Majid.

“Kami tinggal di perkampungan Tana sepanjang hidup, sebagaimana ibubapa dan nenek moyang kami,” kata Fursan.
“Tetapi Zionis ingin menghalau kami keluar dari tanah ini, untuk menrampas tanah dan menyerahkannya kepada pendatang Yahudi.”

“Kami tidak memberi sebarang ancaman kepada sesiapan pun,” keluh Fursan. “Kami hidup serba sederhana, menternak biri-biri dan mendapat hasil dari susu dan keju yang kami buat. Tetapi dari masa ke semasa, buldozer datang dan memusnahkan segalanya, kadang-kadang memaksa kami berteduh di dalam gua.”

Di luar gua tempat mereka berteduh, anak-anak Fursan bermain dengan biri-biri. Salah seorang anaknya Sabrin, 7, berkata, “Tentera Zionis musnahkan sekolah kami, seperti mana mereka musnahkan rumah kami.”

Satu-satunya sekolah yang ada di situ telah dirobohkan sebanyak tiga kali – kali terakhir pada tahun lalu.

“Kami tidak akan menyerah,” kata Fursan. “Kalau mereka memusnahkan rumah kami, kami akan tetap bina semula.”

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts