Ringkasan

Kenalkah Kita Masjid Al-Aqsa?

[toc]

Haram-al-Sharif

Pentingnya Masjid al-Aqsa Kepada Umat Islam

Masjid al-Aqsa merupakan masjid ketiga paling suci bagi umat Islam. Apatah lagi ia adalah kiblat pertama bagi umat Islam. Ianya juga merupakan tempat di mana Allah SWT mentakdirkan berlakunya peristiwa Isra’ Rasulullah SAW dari Masjid al-Haram di Makkah ke Masjid al-Aqsa di al-Quds.

aqsa-01

Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. [Al-Isra 17:1]

Masjid al-Aqsa terletak di kawasan yang sangat diberkati dan suci. Keberkatan kawasan ini bukan sahaja dapat dinikmati dari aspek spiritualnya sahaja, tetapi juga dari aspek material seperti kesuburan tanah yang menghasilkan produk perladangan terbaik, cuaca yang nyaman, seumpamanya. Ramai nabi menjadikan bumi ini sebagai tempat tinggal di dalam misi mereka.

Apabila al-Quran merujuk kepada Masjid al-Aqsa, ia bermaksud tanah al-Haram al-Sharif dan bukan merujuk kepada mana-mana bangunan di dalamnya. Oleh itu, semua bangunan di dalam kawasan al-Aqsa mempunyai nilai dan kepentingan yang sama, termasuklah Masallah al-Aqsa (Qibli) dan Kubah as Sakhrah. Jadi kita harus faham bahawa apa yang di katakan sebagai suci dan diberkati itu adalah seluruh tanahnya dan apa yang ada di dalamnya, bukan hanya batu-bata bangunan.

Suatu masa dahulu, umat Islam bebas untuk mengunjungi al-Aqsa. Ramai yang memulakan pergerakan menunaikan haji dari masjid ini. Apatah lagi terdapat galakan langsung daripada nabi Muhammad SAW untuk menziarahinya. Bersabda nabi Muhammad SAW di dalam sepotong hadis,

وعن أبي سعيد الخدري رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال:   لا تشد الرحال إلا إلى ثلاثة مساجد: المسجد الحرام، والمسجد الأقصى، ومسجدي   متفق عليه، واللفظ للبخاري

Daripada Abi Sa’id al-Khudri R.A. Rasulullah SAW dilaporkan berkata: Janganlah bersungguh-sungguh (atau bersusah-payah) pergi berjalan melainkan ke tiga masjid, al-Masjid al-Haram (Makkah), al-Masjid al-Aqsa (Al-Quds) dan Masjidku (Masjid Nabi di Madinah) – Muttafaqun alaihi dengan lafaz daripada Bukhari.

Sehinggalah penjajahan Zionis ke atas Palestin, Masjid al-Aqsa kini sunyi daripada pengunjung Muslim. Sekatan pihak berkuasa Zionis serta fatwa pengharaman menziarahinya oleh Mufti Palestin yang turut disokong ramai ulamak sedikit-sebanyak menyebabkan hanya segelintir daripada kita yang mengenali al-Aqsa yang sebenarnya.

 

Silap Faham Tentang Masjid al-Aqsa

Di dalam keghairahan mempertahankan al-Aqsa, ada yang cuba untuk memperkenalkan bangunan al-Aqsa secara kurang tepat. Apabila berbincang tentang Masjid al-Aqsa, kita sering dipaparkan dengan imej Kubah as Sakhrah, ataupun masjid berkubah hitam – Masallah al-Aqsa (Qibli).

Gamber yang sering dibunakan untuk menjelaskan tentang bangunan masjid al-Aqsa.
Gamber yang sering digunakan untuk menjelaskan tentang bangunan masjid al-Aqsa.

Bahkan ada juga yang menyatakan yang Kubah as Sakhrah adalah bukan al-Aqsa, sehingga mereka mendakwa bahawa ianya adalah propaganda Zionis, kononnya ia sengaja dibina Zionis untuk mengalihkan perhatian umat Islam daripada mempertahankan “Masjidil Aqsha yang sebenarnya”, iaitu masjid yang berkubah hitam.

Namun pernyataan itu adalah tidak benar.

 

Siapa Yang Membina al-Aqsa?

Menurut ulamak, tidak ada satu nas yang sahih menyatakan secara jelas siapakah pembina al-Aqsa. Cuma terdapat sepotong hadith sahih menceritakan secara umum pembinaan al-Aqsa, seperti yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim:

حديث سليمان بن مهران الأعمش، عن إبراهيم بن يزيد التيمي، عن أبيه، عن أبي ذر قال: قلت: يا رسول الله أي مسجد وضع أول؟ قال: المسجد الحرام. قلت: ثم أي؟ قال: المسجد الأقصى. قلت: كم بينهما؟ قال: أربعون سنة

Hadith Sulaiman bin Mahran al-A’mash, daripada Ibrahim bin Yazid al-Tamimi, daripada bapanya Abu Zarr beliau berkata, aku bertanya kepada Rasulullah “Wahai Rasulullah, masjid yang manakah dibina terlebih dahulu (dalam sejarah)?” Nabi menjawab, “al-Masjid al-Haram.” Aku bertanya lagi, “Selepas itu?” Jawab nabi, “al-Masjid al-Aqsa.” Aku bertanya lagi, “Berapa jarak pembinaan antara keduanya?” Nabi menjawab, “40 tahun.”

Berdasarkan hadis di atas, oleh kerana jarak pembinaan antara al-Masjid al-Haram dan al-Masjid al-Aqsa adalah dekat, iaitu 40 tahun, ditambah lagi dengan umur umat terdahulu yang amat panjang, maka ramai ulamak berpandangan pembina kedua-dua masjid ini adalah orang yang sama.

Justeru, dalam usaha mencari siapakah pembina al-Aqsa, adalah perlu untuk kita mencari siapakah pembina Masjid al-Haram di Makkah.

Sebahagian kita berpandangan yang pembina Masjid al-Haram ialah Nabi Ibrahim. Ini berdasarkan kepada ayat al-Quran di dalam surah al-Baqarah ayat 127: Dan ketika Nabi Ibrahim dan Ismail mengangkat kembali tapak asas tapak rumah ibadah itu (Masjid al-Haram).

Jumhur ulamak walau bagaimanapun menyatakan bahawa ayat di atas hanyalah menunjukkan yang Nabi Ibrahim membina semula tapak Masjid al-Haram yang telah dibina oleh nabi sebelumnya. Dengan erti kata lain, Nabi Ibrahim bukanlah orang pertama yang membina al-Haram. Sekiranya nabi Ibrahim bukan orang pertama membina al-Haram, maka baginda juga bukanlah orang pertama membina al-Aqsa.

Ketika mentafsirkan ayat di atas, Imam al-Tabari telah merekodkan beberapa riwayat mengenai pembina Masjid al-Haram yang sebenarnya. Antaranya ialah seperti yang dilaporkan oleh Ato’ bin Abi Rabah dan Abdullah bin Amru yang menyatakan bahawa pembina Ka’bah yang pertama sebenarnya ialah nabi Adam. Apabila nabi Adam diturunkan dari langit, baginda telah membina rumah ibadah pertama di muka bumi dengan arahan Allah SWT. Baginda tawaf di keliling Ka’bah tersebut, berdasarkan sempadannya yang telah ditetapkan. Ka’bah itulah merupakan asal bagi Masjid al-Haram.

Kemudian berdasarkan hadis Abu Dzar tadi, baginda telah membina al-Aqsa 40 tahun selepasnya. Adapun Nabi Ibrahim, baginda hanyalah membangunkan kembali asas binaan tersebut yang telah roboh berikutan banjir besar serta faktor cuaca yang lain.
Justeru, ramai ulamak yang menyatakan nabi Adam adalah pembina al-Aqsa kerana baginda juga membina Ka’bah.

Bilamana Khalifah Umar Ibnu Khattab RA pertama kali memasuki al-Quds, Baginda meminta supaya dibawa ke al-Haram al-Sharif (kawasan al-Aqsa). Apablia tiba di situ, Baginda sangat sedih melihat kawasan yang suci itu dijadikan oleh orang-orang Roman sebagai tempat membuang sampah.

Sayyidina Umar terus membersihkan kawasan tersebut dan kemudiannya mengarahkan pembinaan sebuah masjid di hujung bahagian selatannya. Bangunan itu asalnya merupakan struktur kayu dan kemudiannya dibina semula dengan struktur batu oleh al-Walid, anak kepada khalifah Abd al-Malik. Hari ini, di situlah berdirinya Masallah al-Aqsa (Qibli).

Khalifah Umayyah Abd Malik ibn Marwan mengarahkan pembinaan Kubah al-Sakhrah dalam tahun 72-73 Hijrah. Tujuan pembinaan banguan ini menarik pelbagai andaian. Walau bagaimanapun, bagi kebanyakan orang Islam usaha tersebut adalah bertepatan dengan statusnya sebagai tapak tempat berlakunya peristiwa agung Israk dan Mikraj Rasulullah SAW, di tambah dengan banyak hadis yang memuliakan kawasan al-Aqsa, bahkan ianya disebut di dalam al-Quran. Abd Malik yang juga merupakan seorang ahli undang-undang yang terkenal, menyedari semua nilai kebaikan ini dan memutuskan untuk memperingati warisan Islam di kawasan tersebut dengan membina kubah besar di atas batu tapak kejadian pristiwa Israk dam Mikraj tersebut.

 

Konsep Binaan Masjid Dalam Islam

Untuk mengetahui bangunan al-Aqsa, kita juga perlu untuk mengetahui konsep binaan masjid di dalam fiqh Islam. Secara ringkasnya, yang dinamakan masjid itu perlulah mempunyai empat elemen:

  1. Lokasi.
  2. Sempadan.
  3. Qiblah.
  4. Aktiviti, termasuklah ritual ibadah dan juga segala aspek kehidupan yang membawa kesejahteraan akhirat.

Gabungan lokasi dan sempadan, menurut ulamak, tidak membawa maksud yang masjid itu perlu berada di dalam satu bangunan. Masjid di zaman nabi Muhammad juga tidak mempunyai bangunan.

Yang paling penting ialah, pembina masjid tersebut perlu menentukan lokasi dan sempadannya. Adalah menjadi satu kesilapan sekiranya kita memahami yang masjid itu perlu dibuat di dalam bangunan.

 

Lokasi al-Aqsa

Dalam peta politik moden, al-Aqsa terletak di sebuah kawasan yang dikenali sebagai Kota Lama Al-Quds (Old City of Jerusalem) di Tebing Barat. Di zaman nabi, banyak istilah yang digunakan untuk merujuk kepada kawasan ini, seperti Eiliya’, Sham, al-Ard al-Muqaddasah, al-Ard al- Mubarakah dan al-Quds.

Kota Lama al-Quds dikelilingi oleh pagar. Di dalamnya terletak kawasan petempatan lama yang agak padat. Dahulu, Muslim Arab merupakan penduduk majoriti, akan tetapi selepas penjajahan, orang Yahudi semakin ramai menguasai kawasan petempatan di situ. Turut berada di dalam pagar Kota Lama itu adalah Holy of Sepulchre, sebuah gereja utama agama Kristian. Al-Masjid al-Aqsa terletak di tenggara pagar Kota Lama.

Pelan kedudukan Kota Lama dan Masjid al-Aqsa.
Pelan kedudukan Kota Lama dan Masjid al-Aqsa.

Sempadan bagi “tanah yang diberkati” ini adalah tidak jelas dan terdapat perbezaan pendapat. Sebahagian ulamak al-Quran dan Hadis, termasuk Ibn Kathir, al-Qurtubi dan Ibn al-Jawzi menganggap keseluruhan kawasan al-Sham (meliputi Palestin, Jordan, Syria dan Lubnan) sebagai tanah yang diberkati tersebut. Ada juga yang berpendapat bahawa tanah yang diberkati itu adalah seluruh wilayah yang bersambungan dari Hijaz (Arab Saudi) melalui al-Sham hinggalah ke Mesir. Pendapat lain, yang mungkin lebih lojik, adalah bahawa di dalam kawasan Timur Tengah hari ini, terdapat beberapa kawasan tanah yang diberkati seperti kawasan al-Aqsa, Masjid Nabawi di Madinah dan Masjid al-Haram di Makkah. Yang jelas, dalam semua pendapat tentang “tanah yang diberkati” tersebut, ia adalah termasuk kawasan al-Aqsa.

Bandar al-Quds (Jerusalem) kini menjangkau kawasan seluas lebih 45 km persegi.

 

Al-Aqsa Yang Sebenar

Kawasan al-Aqsa adalah seluas kira-kira 35 ekar. Di dalamnya, di hujung selatan, letaknya Masallah al-Aqsa (Qibli) iaitu masjid yang berkubah hitam, di tengahnya terletak masjid berkubah emas iaitu Kubah as Sakhrah, dan terdapat 42 lagi monumen atau bangunan lain di dalamnya. Adalah menjadi kelaziman kita bagi merujuk keseluruhan kawasan tersebut sebagai al-Haram al-Sharif (kawasan al-Aqsa).

Secara ringkas, Masjid al-Aqsa yang sebenar ialah meliputi semua monumen bangunan dan tanah lapang di sekitar pagar empat segi di atas. Hujahnya ialah seperti berikut:

  1. Nabi Muhammad SAW diisrak ke al-Aqsa. Kemudian dimikrajkan dari al-Aqsa juga. Semua bersetuju yang Nabi dinaikkan ke langit daripada lokasi Kubah as Sakhrah sekarang yang letaknya di bukit paling tinggi di dalam pagar di atas. Justeru tidaklah tepat sekiranya Kubah as Sakhrah dikatakan bukan sebagai al-Aqsa.
  2. Masjid tidak semestinya berada di dalam satu bangunan. Ianya boleh jadi di atas tanah lapang, atau dalam bangunan, atau gabungan tanah lapang dan bangunan, selagi mana ditentukan lokasi dan sempadannya.
  3. Al-Aqsa mempunyai hubungan dan persamaan dengan Ka’bah. Tidak mustahil, kerana pembinanya adalah orang yang sama. Bahkan jika dibesarkan plan Ka’bah, kita akan dapati yang plannya adalah sama dengan pagar sempadan al-Aqsa. Dengan erti kata lain, sudut bukaan setiap hujung empat seginya adalah sama.
  4. Memang benar Sayyidina Umar RA tidak bersetuju dengan cadangan Ka’ab al-Ahbar mengenai lokasi di mana perlunya dibina bangunan masjid di dalam al-Aqsa. Ka’ab mencadangkan di lokasi berdirinya Kubah as Sakhrah sekarang. Umar tidak bersetuju kerana lokasi itu adalah lokasi paling suci dalam agama Yahudi, dan keduanya bangunan utama yang menempatkan imam solat perlulah berada di tempat paling hampir dengan qiblat (Ka’bah). Maka dibinalah bangunan masjid kecil di selatan sempadan pagar al-Aqsa yang betul-betul dibina oleh nabi Adam menghadap ke arah Ka’bah. Masjid asal yang dicadangkan Sayyidina Umar itu dikenali penduduk tempatan sebagai Jami’ Qibli atau Jami’ al-Aqsa.

Adapun sekiranya menyebut Masjid al-Aqsa, maka ianya merujuk kepada semua yang berada di dalam pagar sempadan al-Aqsa tadi, termasuklah Jami’ Qibli, Masjid Buraq, pelbagai masjid kecil di dalamnya, beberapa bilik perpustakaan, pejabat dan kelas pengajian, Kubah as Sakhrah, Kubah al Mi’raj, Kubah al Silsilah, tanah lapang, dan lain-lain.

Semua kawasan dan bangunan yang berada di dalam garisan mereah adalah Masjid al-Aqsa
Semua kawasan dan bangunan yang berada di dalam garisan mereah adalah Masjid al-Aqsa

 

Kesimpulan

  1. Al-Aqsa ialah kawasan yang meliputi semua monumen, bangunan dan tanah lapang di dalam pagar al-Aqsa seperti gambar di atas. Ini termasuklah Kubah as Sakhrah, yang merupakan sebahagian daripada Masjid al-Aqsa. Oleh itu, apabila kita merujuk kepada “Masjid al-Aqsa” ia bukan merujuk kepada mana-mana bangunan tertentu di situ.
  2. Umat Islam perlu menghentikan penyebaran maklumat salah yang kononnya Kubah as Sakhrah bukan sebahagian daripada al-Aqsa. Sasaran Zionis sekarang ialah membina Haikal Sulaiman di atas tapak Kubah as Sakhrah, yang dianggap sebagai The Holiest of Holy oleh orang Yahudi. Sekiranya kita membiarkan fokus kita daripada mempertahankan Kubah as Sakhrah ini, maka mudahlah orang Yahudi merampas al-Aqsa.
  3. Sangat jelas bahawa Allah SWT telah memberkati tanah Masjid al-Aqsa. Lanjutan daripada ini, “tanah yang diberkati” menurut Islam bermakna sebidang tanah yang dikaitkan dengan keberkatan – tanah di mana Allah SWT telah kurniakan rahmat rohani dan fizikal, dari mana semua manusia dapat memperoleh manfaat. Keberkatan itu juga diperluaskan kepada orang-orang yang tinggal di situ, dengan syarat mereka menurut perintah-perintah Allah, iaitu mengamalkan ajaran Islam.

Semua bangunan di dalam perkarangan al-Aqsa dan keseluruhan tanah itu adalah suci, hinggalah setiap butiran pasir di dalamnya.

[Ditulis semula dengan rujukan kepada tulisan berkaitan di Friends of Al-Aqsa, Sahabat al-Aqsha dan abidfana.com.]

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Related Posts