Keprihatinan Kariah Masjid BBU Menyentuh Hati Syeikh Omar

“Dr Baha, tahun ni bila imam Palestin akan tiba?” sapa Encik Yahya pada suatu malam selepas solat isyak awal bulan Syaaban.

Spontan saya menjawab sambil bersalam mesra dengan beliau, “Subhanallah! Insyallah, nanti saya akan hubungi semula.”

Ketika itu, HALUAN masih dalam proses untuk membawa para hafiz untuk Program Ramadan Bersama Huffaz 1434H dan belum ada ketetapan akan tarikh kedatangan mereka.

Encik Yahya ialah setiausaha Masjid Jamek Bandar Baru Uda (Masjid BBU) yang telah menjalin hubungan mesra dengan HALUAN Cawangan Johor sejak beberapa tahun yang lalu, khususnya dalam program-program melibatkan isu Palestin dan kemanusiaan. Sudah banyak kali HALUAN berprogram di sini sebelum ini dan mendapat kerjasama yang baik daripada pihak jawatankuasa masjid.

Menjelang Ramadan 1434H, setelah diketahui tarikh dan nama-nama imam-imam hafiz yang akan datang ke negeri Johor, perbincangan diteruskan dengan pihak Masjid BBU untuk menetapkan jadual. 20 dan 21 Julai telah ditetapkan oleh pihak Masjid BBU dan mereka memilih imam hafiz dari Syria sebagai imam solat tarawikh, memandangkan seminggu sebelum itu Masjid BBU telah menjemput seorang imam hafiz dari Palestin.

“Ahlan wa sahlan wa marhabam bikum, ta fadhal ya syeikh,” sambutan mesra oleh Encik Sulaiman Sujak dan seluruh AJK serta kariah Masjid BBU, setibanya saya dan Syeikh Omar Abd al-Azim ke majlis berbuka pada petang Sabtu, 21 Julai. Setelah taaruf ringkas, kami beriftar sederhana sebelum menunaikan solat maghrib. Seusia solat isyak, Syeikh Omar mengimami solat tarawikh sebanyak 20 rakaat dengan membaca Surah Hud dengan suara yang lunak. Ramai ahli kariah yang memuji kemerduan bacaannya dan ada yang tidak sedar telah usai 20 rakaat.

Sebelum memulakan solat tarawikh pada malam Ahad 22 Julai, Imam bertugas telah membacakan semula pengenalan ringkas Syeikh Omar serta tujuan kehadirannya bersama HALUAN dan menyeru para jemaah agar menyalurkan sumbangan sekadar yang mampu.

Suasana Iftar di Masjid BBU
Suasana Iftar di Masjid BBU

“Malam semalam selain wang ringgit, ada ahli jemaah wanita yang menyumbangkan seutas gelang emas. Jadi para jemaah boleh terus menyumbang lagi malam ini, termasuklah cincin, jam dan rantai emas, tapi jangan sumbang gigi emas,” seru Imam Hassan sambil berseloroh yang disambut ketawa kecil para jemaah.

Syeikh Omar telah membaca Surah Yusuf dalam 20 rakaat tarawikh yang diakhiri dengan doa qunut nazilah selama 15 minit pada rakaat terakhir solat witir.

Seperti malam pertama, seusai doa penutup sebelum bersurai, para jemaah lelaki tidak melepas peluang bersalaman dan berpeluk dengan Syeikh serta mengabadikan kenangan dengan bergambar bersama, manakala jemaah wanita pula sekadar ‘mencuri’ pandang dari jauh akan hafiz dari Syria yang berusia 25 tahun ini.

Program Ramadan Bersama Huffaz di Masjid BBU tahun ini diakhiri dengan jamuan istimewa di restoran berhampiran oleh pihak masjid sebagai penghargaan mereka kepada imam dan pihak HALUAN. Seorang lagi Imam Hafiz, Syeikh Hamzah dari Gaza turut serta.

“Insyallah pihak masjid mengalu-alukan program-program yang bersesuaian anjuran HALUAN pada masa akan datang dan ingin bersama-sama menjayakannya,” ujar Encik Sulaiman, Pengerusi Masjid BBU apabila diajukan cadangan oleh Dr Baharudin semasa bersama menikmati juadah jamuan. Beliau mencadang HALUAN terus berhubung dan berbincang dengan AJK-AJK tertentu masjid untuk program motivasi pelajar, keremajaan, kesukarelawan dan majlis-majlis ilmu yang bersesuaian dan diperlukan oleh kariah. Beliau turut memuji bacaan dan akhlak yang dipamerkan Syeikh Omar sepanjang menjadi imam dan menyarankan ia dijadikan sebagai satu ‘benchmark’ atau ‘standard’ untuk para hafiz yang akan datang.

Peluang bersalaman dengan Syeikh Omar tidak dilepaskan
Peluang bersalaman dengan Syeikh Omar tidak dilepaskan

Majlis diakhiri dengan penyerahan sumbangan kepada saudara Islam Syria daripada kariah Masjid BBU yang berjumlah lebih RM21 Ribu beserta dua utas gelang dan seutas rantai emas. Penyerahan disempurnakan oleh Encik Sulaiman dan sebagai balasan, Dr Baharudin mewakili HALUAN Cawangan Johor menyerahkan sekeping sijil penghargaan serta menghadiahkan sebuah buku Mutiara Hadis Sahih Bukhari Muslim dan beberapa helai mafela atau selendang kepada Masjid BBU sebagai menghargai kerjasama yang telah diberikan oleh pihak Masjid BBU.

Sebelum beredar, Encik Yahya sempat berbisik kepada saya, “Jika ada jadual kosong, kami hendak jemput beliau lagi sekali sebelum akhir Ramadan.”

Apabila dikhabarkan hajat pihak masjid kepada Syeikh Omar, beliau amat tersentuh dan terharu sehingga menitiskan air mata atas keprihatinan umat Islam di Malaysia.

Kami pulang dengan rasa syukur yang tidak terhingga, walau hanya dengan sedikit usaha yang dikerahkan, tetapi Allah SWT telah membuka hati-hati kariah Masjid BBU untuk berasa prihatin tentang isu Syria dan Palestin yang telah diterjemahkan dalam bentuk doa dan sumbangan yang telah diberikan.

Di pihak HALUAN Cawangan Johor, kami akan terus menjaga dan meningkatkan hubungan silaturrahim dengan pihak Masjid BBU serta ahli kariah dan akan berusaha merealisasikan program-program yang telah dibincangkan. Insyallah.

Semoga Allah SWT mengabulkan setiap doa, memberkati setiap sumbangan dan merahmati usaha yang sedikit ini.

———–

Dr Baharudin Suri, 21 Julai 2013
HALUAN Cawangan Johor

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on email
Email

Related Posts