Kereta Kebal Israel Serang Utara Gaza

Isnin, 1 Mac — Askar-askar Zionis telah melancarkan serangan ke atas bandar Beit Lahia di kawasan utara Gaza, membunuh seorang rakyat Palestin dan mencederakan 3 orang lagi.

Mohamed Ghboun, 22 tahun, yang didakwa sebagai pejuang Briged Salahuddin telah terbunuh ketika menjalankan misi meninjau. Ketua perkhidmatan kecemasan di Gaza, Muawiya Hassanein, menyatakan bahawa Mohammed Ghaban terbunuh akibat terkena serpihan peluru daripada serangan kereta kebal Israel.

Kemudiannya kereta-kereta kebal Israel menyasarkan serangan ke sekumpulan penduduk yang sedang berkumpul di Beit Lahia. 3 orang tercedera, seorang daripadanya parah dan dihantar ke Hospital Kamal Odwan.

Dalam kejadian lain di utara Tebing Barat pula, seorang kanak-kanak Palestin telah tercedera akibat dilanggar dengan sebuah jip tentera Israel berhampiran satu sekatan pemeriksaan. Dallal Abu Sa’dda, 6 tahun, dikatakan sedang berada di jalan utama berdekatan kampungnya di Beit Dajan, apabila jip tersebut melanggarnya.

Sebuah ambulan dikejarkan ke tempat kejadian, namun dihalang oleh tentera Israel daripada membantu mangsa tersebut. Tentera Israel sebaliknya membiarkan kanak-kanak terbut di atas jalan sehinggalah ambulan tentera tiba. Kanak-kanak malang itu dibawa ke sebuah hospital Israel dengan menaiki ambulan tentera tersebut.

Menurut satu laporan yang dikeluarkan oleh “International Solidarity Association for Human Rights” Isnin lalu, Israel telah membunuh 5 orang Palestin dan menangkap 300 yang lain sepanjang bulan Februari 2010. Dua orang terbunuh dalam kejadian di Tebing Barat, manakala 3 lagi di Gaza. Mereka yang ditangkap termasuk 31 orang kanak-kanak dan 2 orang aktivis pertubuhan hak asasi manusia. Hampir setiap hari tentera Israel menceroboh kejiranan Palestin di Tebing Barat. (mn/imemc/maan)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts