Klinik gigi untuk pelarian Palestin di Damaskus mula beroperasi

Alhamdulillah, HALUAN amat bersyukur dan terharu apabila melihat projek mendirikan sebuah pusat rawatan gigi kebajikan bagi pelarian-pelarian Palestin di sekitar Damaskus, Syria akhirnya menjadi kenyataan. Kami hanya mampu mendoakan agar sumbangan ikhlas dari para dermawan Malaysia dan Indonesia ini akan menjadi saham waqaf yang mendapat ganjaran besar dari Allah SWT.

Projek yang menelan belanja USD133 ribu itu adalah hasil sumbangan yang terkumpul melalui kerjasama HALUAN dan NGO Indonesia iaitu Sahabat Al Aqsha, MER-C dan Komite Indonesia untuk Solidaritas Palestina (KISPA.) Manakala urusan pembinaan dan pentadbiran projek ini dilaksanakan oleh Al-Saraa Foundation dengan pemantuan oleh Rabitah Ulama Palestin. Projek di kem pelarian Yarmuk ini melibatkan pembelian tanah dan bangunan di samping kelengkapan dalaman bangunan dan peralatan rawatan dan pengubatan gigi dan juga dana operasi awal klinik tersebut.

Seramai 5 orang doktor gigi melayani lebih dari 300 ribu pelarian Palestina di kem Yarmuk, Filistin, Sbena, Khan Danun dan beberapa kem lain di sekitar Damaskus. Pesakit akan mendapat rawatan secara percuma, atau bayaran minima sekitar 1/5 daripada bayaran di klinik biasa.

Menurut kenyatan Pengerusi HALUAN Palestin, Dr Syed Muhamad Haleem Syed Hasan, kerjasama membangunkan klinik ini dilaksanakan dengan Al-Saraa Foundation kerana pertubuhan itu didirikan oleh para ulama pejuang Palestin yang tergabung dalam Rabitah Ulama Palestin, dan rekod kerja pertubuhan ini yang bersih dan amanah.

Manakala bagi pihak Rabitah Ulama Palestin pula, mereka sangat terharu dengan keprihatian masyarakat Malaysia dan Indonesia dalam membantu rakyat Palestin. Ketua Kordinator Bantuan Kemanusiaan Antarabangsa bagi Rabitah Ulama Palestin, Sheikh Ahmad Ziyad Al-Qishawi berkata, “atas nama setengah juta pelarian Palestin di Syria dan atas nama para Ulama Palestin, kami sampaikan ribuan terima kasih. Semoga amal salih masyarakat Indonesia dan Malaysia mendapat balasan terbaik dari Allah di dunia dan di akhirat.”

 

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts