RAMALLAH, 9 Nov 2014 (WAFA) — Sekurang-kurangnya 1,300 orang penduduk Palestin di Al-Quds ditangkap oleh pihak berkuasa rejim Zionis sejak bulan Jun lalu, di mana 250 daripadanya berlaku sejak 22 Oktober.
Palestinian Prisoner’s Club (PPC) melaporkan 40% daripada mereka yang ditangkap adalah di bawah umur 18 tahun. Kebanyakannya ditangkap atas tuduhan membaling batu, bunga api dan bom Molotov.
Sebahagian besar mereka yang ditangkap dikenakan hukuman denda dari 3,000 hingga 7,000 Shekels, manakala sebahagian lagi dibebaskan dengan ikat jamin atau dikenakan tahanan dalam rumah. Ada juga yang dikenakan hukuman buang daerah selama sekurang-kurangnya tujuh hari.
Peguam PCC, Mufeed al-Haj, dalam kenyataan beliau menyebut bahawa tangkapan bukan hanya meningkat dari segi bilangan, tetapi juga hukuman yang dikenakan adalah lebih berat.
Kabinet rejim Zionis baru-baru ini meluluskan pindaan undang-undang bagi menjatuhkan hukuman penjara sehingga 20 tahun ke atas mereka yang didakwa membaling batu.
Penangkapan meningkat secara mendadak sejak tragedi pembunuhan remaja Palestin, Mohammad Khdair, yang dibakar hidup-hidup oleh pendatang Yahudi pada 2 Julai lalu.