Lebih 2,000 Penduduk Palestin Ditangkap, Termasuk 800 Kanak-Kanak

RAMALLAH, 20 Nov 2015 (PIC) — Lebih 2,000 penduduk Palestin, termasuk 800 kanak-kanak dan 60 wanita, ditangkap oleh tentera Zionis sejak tercetusnya Intifadah Al-Quds awal Oktober lalu.

Jurucakap pertubuhan hak asasi Pusat Kajian Tahanan Palestin, Riad al-Ashqar, dalam kenyataan medianya menyebut bahawa kempen penculikan secara sewenang-wenang yang dilancarkan oleh rejim Zionis sejak awal Oktober itu menjejaskan semua kategori sosial dan peringkat umur, termasuklah kanak-kanak, wanita, pesakit, mereka yang tercedera, ahli parlimen, pelajar univeristi dan juga ahli akademik.

Daerah Al-Quds dan Al-Khalil mencatatkan bilangan tertinggi penduduk yang ditangkap, masing-masing 600 dan 500 orang.

150 warga Palestin ditangkap di Wilayah Palestin 1948 yang terjajah, 250 di Ramallah dan al-Bireh manakala 100 lagi di Bethlehem.

Ahli parlimen Hassan Youssef dan Abdul Jabeur Foukaha juga ditangkap dalam kempen tersebut.

Menurut penjelasan Riad lagi, kebanyakan kanak-kanak yang ditangkap adalah berumur sepuluh tahun dan ke bawah.

Kanak-kanak seawal tujuh tahun juga mendapat kesan dari kempen penculikan oleh rejim Zionis. Antaranya, Mohamed Abdullah Shweiki dan adik-beradik Mo’atassem yang semuanya berumur tujuh tahun, merupakan golongan termuda yang dianiaya oleh rejim Zionis.

Beberapa orang kanak-kanak termasuk Ali Ibah Alkam, 12 tahun, diculik sejurus selepas cedera ditembak oleh tentera Zionis atas tuduhan terlibat dalam serangan menikam penduduk Yahudi.

60 orang kanak-kanak yang ditangkap ditahan di lokap Jafon yang begitu padat, di mana kebersihan tempat tahanan sangat teruk.

Pusat kajian tersebut turut melaporkan tentang 235 tahanan pentadbiran baharu, atau dilanjutkan tempoh. 12 kanak-kanak dan dua remaja perempuan 19 tahun dipindahkan ke tahanan pentadbiran yang tidak didakwa atau dibicarakan. 30 orang daripada tahanan pentadbiran adalah penduduk Al-Quds, menjadikan jumlah tahanan pentadbiran sepanjang bulan Oktober melebihi 500 orang.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts