Lebih 490 keluarga Gaza mendapat manfaat program korban HALUAN

BANDAR BARU BANGI, 27 Ogos 2018 — Program korban bersempena Hari Raya Aildiladha yang dianjurkan oleh HALUAN berjaya membawa kegembiraan kepada lebih 490 keluarga di Gaza, dalam keadaan mereka dilanda masalah ekonomi yang kronik.

Seramai 59 orang rakyat Malaysia menyertai program korban kali ini, di mana aktiviti sembelihan dan agihan daging biri-biri dilaksanakan di beberapa daerah termasuk kawasan Abu Kameel, Sidra al-Kharoubi, al-Hadjani, Jalan al-Wahda, al-Mawalid, Jalan al-Yarmouk, Firas, al-Wadud, al-Taabeen, al-Mansheya, Fatima az-Zahra, Qustal, Zawaideh, Farouk, al-Samdid al-Kabeer, Tal al-Sultan Rafah dan juga al-Shuhada.

Sembelihan dan agihan telah dilakukan oleh para relawan dari rakan NGO, Al-Sarraa Foundation for Humanitarian Relief (al-Sarra), yang bekerjasama dengan HALUAN sejak lapan tahun lalu. Al-Sarra berpengkalan di Istanbul dan aktif menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Syria dan Palestin.

Semoga Allah SWT menerima semua ibadah korban peserta terbabit, dan digandakan pahala dalam membantu saudara mereka yang dikepung secara zalim sejak 12 tahun lalu.

Sekatan ke atas penduduk Gaza membawa kepada bencana ekonomi yang meruncing, sehingga mempengaruhi ibadah korban penduduk di situ. Lazimnya, sehingga 30,000 biri-biri dikorbankan setiap musim Aiduladha. Namun pada tahun ini, angka tersebut menurun sehingga separuh.

Harga sekilogram daging biri-biri di Gaza kini meningkat dari 3.5 Jordan Dinar (JD) kepada 5 JD. Sedangkan pendapatan per kapita harian di Gaza hanyalah US$2 (1.5 JD). Lebih 40% daripada dua juta penduduk Gaza hidup di bawah paras kemiskinan, di mana 80% daripada mereka terpaksa bergantung kepada bantuan luar.

(BHP)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts