Lebih 80 tahanan teruskan mogok lapar

GAZA, 7 Ogos 2016 (Maan) — Lebih 80 tahanan Palestin dalam penjara Zionis akan meneruskan mogok lapar sehingga tuntutan mereka dipenuhi oleh rejim Zionis dan tahanan Bilal Kayid dibebaskan.

Dalam perkembangan berkaitan, kesihataan tahanan Ahed Abu Ghulma yang melancarkan mogok dalam kurungan berseorangan di penjara Ramon sejak seminggu lalu kini semakin tenat, di mana beliau dilaporkan mengalami sakit kepala, keletihan, sakit sendi serta muntah.

Pihak pengurusan penjara Zionis enggan memindahkan beliau ke hospital atau memberikan rawatan, sebagai usaha memaksa beliau menghentikan mogok lapar.

Pihak penjara juga dilaporkan mengugut tahanan Ahmad Saadat bahawa beliau akan dipindahkan dari kurungan berseorangan di penjara Ramon ke suatu tempat lain yang tidak diketahui, sekiranya beliau enggan menghentikan mogok.

Bilal Kayed melancarkan mogok lapar sejak 54 hari lalu sebagai membantah tindakan rejim menahan beliau di bawah tahanan pentadbiran tanpa sebarang pengadilan, pada hari beliau sepatutnya dibebaskan setelah menjalani hukuman penjara selama 14 tahun. Laporan Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan keadaan Bilal kini sangat kritikal, di mana para doktor memberi amaran tentang kemungkinan beliau boleh meninggal dunia secara tiba-tiba.

Manakala tahanan adik beradik Mahmoud dan Muhammad Balboul masing-masing melancar mogok lapar sejak 5 Julai dan 7 Julai lalu. Tahanan Malik al-Qadi dan Ayyad Hreimi memulakan mogok lapar pada 15 Julai.

Jurnalis terkenal Omar Nazzal menyertai kempen mogok lapar sejak 1 Ogos, manakala tahanan Walid Malluh Masalmeh melancarkan mogok sejak 18 Julai bagi membantah kurungan berseorangan ke atas beliau sejak lebih 10 bulan.

Sehingga Mei lalu, seramai 7,000 penduduk Palestin sedang merengkok dalam penjara Zionis termasuk 715 orang di bawah tahanan pentadbiran tanpa sebarang pengadilan.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts