Lelaki Palestin ditangkap kerana petikan ayat al-Quran di laman Facebook

AL-QUDS, 7 Sep 2016 (PIC) — Penduduk Palestin dari bandar Silwan di al-Quds Timur, Jawad Abu Mayala, ditangkap dan disoal siasat oleh polis Zionis kerana memaparkan sepotong ayat al-Quran di laman Facebook beliau.

Sabtu lalu, Jawad memapar ayat ke-57 dari Surah Al-Ankabut, yang membawa maksud “Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati,” ketika berada di rumahnya. Beliau kemudiannya memandu ke al-Khalil dan memutuskan untuk bermalam di sana.

Pada pagi Ahad, beliau menelefon menantunya dan memberitahu beliau akan berada di al-Khalil untuk hari kedua.

Bagaimanapun, beliau terkejut apabila dimaklumkan pasukan polis Zionis memecah masuk rumahnya di Silwan pada malam tersebut dan isterinya diarah hadir untuk disoal siasat tentang paparan di laman Facebooknya.

Polis Zionis mengarahkan Jawad menyerah diri di sekatan tentera yang terdekat di al-Khalil, namun beliau enggan dan kemudian memutuskan untuk menyerah diri di balai polis Salahaddin di al-Quds.

Dengan merujuk kepada paparan ayat al-Quran di laman Facebooknya, Jawad dituduh merancang untuk melakukan serangan ke atas kepentingan Zionis dan Yahudi.

Beliau bagaimanapun dibebaskan setelah diberi amaran denda sebanyak 30,000 shekel sekiranya memaparkan ayat-ayat seumpama itu lagi.

Lebih 200 penduduk Palestin ditangkap atas dakwaan berkaitan paparan di laman Facebook sejak 2015, kebanyakannya penduduk al-Quds.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts