Masjid Al-Aqsa Dikepung Dan Para Jemaah Diserang

AL-QUDS, 8 Okt 2014 (PIC | IMEMC) — Pasukan khas polis Zionis menceroboh masuk ke Masjid al-Aqsa dan menyerang para jemaah bagi memberi laluan kepada lebih 60 pendatang Yahudi masuk dan menyambut hari Sukkot, pagi semalam.

Polis Zionis mengetatkan kawalan keselamatan di semua jalan dan pintu menghala ke masjid, terutama sekali di kawasan Pintu al-Maghariba. Pada jam 7:30 pagi pasukan polis dengan tiba-tiba menceroboh masuk ke perkarangan masjid dan mula menyerang para jemaah yang majoritinya warga tua, dengan melepaskan tembakan grenad dan peluru getah.

Pasukan pengawal masjid mengesahkan berlakunya pertempuran di antara pasukan polis dan pemuda Palestin yang beriktikaf di dalam masjid sejak beberapa hari lalu bagi menghalang cubaan puak Yahudi memecah masuk.

Pasukan tentera juga mengepung dan mengawal kawasan sekitar masjid sejak awal pagi, menghalang wanita dan kanak-kanak perempuan daripada memasuki masjid. Lelaki berusia di bawah 60 tahun juga dilarang masuk.

Pekerja dan pegawai Jabatan Wakaf yang bertanggung jawab ke atas hal ehwal masjid juga dihalang masuk.

Imam Masjid Al-Aqsa, Sheikh Omar al-Kiswani, berkata pertempuran masih berlaku dan ramai pemuda Palestin yang tercedera terutama mereka yang berkawal di dalam Masjid al-Qibli. Kebakaran juga dilaporkan berlaku apabila pasukan Zionis menyerang dengan bom gas dan grenad, namun tentera Zionis menghalang pasukan bomba daripada memasuki kawasan tersebut.

“Masjid kini hamir kosong setelah pasukan Zionis memaksa para jemaah keluar,” kata al-Kiswani. “Mereka halau para jemaah dan membenarkan pelampau Yahudi bebas di dalam masjid.”

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on email
Email

Related Posts