Masjid Berlumba Melahirkan Syuhada’

GAZA CITY 29 Apr 2012 – Sudah lumrah masjid di Gaza menjadi pusat pembentukan akhlak dan iman para penduduknya. Keunikan tambahan di sini yang mungkin tiada di negara lain adalah masjid juga berlumba untuk melahirkan pahlawan-pahlawan perang menentang rejim ganas zionis Israel. Siapa lagi kalau bukan para pemuda.

“Tidak salah jika dikatakan kami berlumba sesama masjid untuk melahirkan ramai para syuhada’ di kalangan pemuda-pemuda kami,” berkata Ziad Muhamed Anam, pengerusi dakwah Masjid Abu Qadrah yang sempat kami singgah untuk bersolat subuh di sini. “Setakat ini alhamduliLlah sudah tujuh orang ahli kariah kami sudahpun syahid mempertahankan Palestin khususnya Gaza.”

Jamaah masjid bersarapan bersama relawan HALUAN
Jamaah masjid bersarapan bersama relawan HALUAN

“Mereka ini tujuh (orang) tetapi ibarat satu – satu di dalam akhlak Islami, menjaga solat, bersifat jujur ikhlas, menghafal Al-Quran dan anak yang soleh kepada ibubapa. Yang paling tua di antara mereka berumur 22 tahun, ada yang baru mendapat anak, ada yang baru hendak kahwin; tetapi mereka mengharapkan kehidupan yang lebih cantik dan selesa… akhirat,” jelas pakcik berusia separuh abad itu menuding ke langit.

Agak sukar mungkin untuk kebanyakan umat dunia memahami kenapa begitu sekali kesanggupan mereka ini hingga merebut untuk syahid. Mana mungkin seseorang itu mahu nyawanya diragut peluru, bom ataupun bayonet tanpa merasa rugi ataupun takut? Kalaulah mereka sedar yang Palestin itu tanah tumpah darah mereka sendiri, merekapun akan sanggup bergolok gadai menyabung nyawa deminya. Apatah lagi bila bumi ini milik seluruh umat Islam sedunia yang telah dijelaskan oleh hadith RasuluLlah SAW di mana kesuciannya sudah lama tercemar oleh yahudi penceroboh.

Dikatakan ahli syuhada’ yang paling terbaru gugur telah berkata kepada ibunya sebelum bergerak ke perbatasan bahawa hari ini mungkin hari terakhir beliau. Allah telah memakbulkan doanya bila syahid ketika bertempur dengan tentera yahudi. Menurut Salim nazir masjid berkenaan yang juga ahli parlimen Palestin menjaga isu tawanan perang Palestin di penjara Israel, ”mesej kami kepada rakyat Malaysia ialah jangan takut atau bimbang dengan keadaan kami. Ini kerana kami akan terus berjuang menentang zionis hingga mereka semua lari keluar dari Palestin.

Syeikh Salim (tengah) berhujjah
Syeikh Salim (tengah) berhujjah

“Ini adalah isu aqidah. Sampaikan dengan jelas – bila pulang ke Malaysia nanti nyatakan kepada rakyat kamu dengan penerusan jihad kami dan pengorbanan serta doa kamu kita sama-sama akan bebaskan bumi Aqsa. Ini telah pasti. Kami bangga kamu datang ke sini menziarahi kami untuk mendapatkan maklumat yang sebenarnya terus daripada kami,” katanya lagi.

Rata-rata masjid di Semenanjung Gaza terdapat di mana-mana serta diimarahkan oleh ramai golongan muda dan tua. Masjid mereka dijadikan pusat ilmu dan sumber, pusat ibadah dan hafazan juga pusat tumpuan anak-anak muda sekolah rendah dan menengah bermain sukan seperti ping pong, futsal dan lain-lain lagi.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Related Posts