Masjid Ibrahimi Ditutup Sempena Perayaan Yahudi

AL-KHALIL, 16 Sep 2015 (WAFA) — Pihak berkuasa Zionis menutup Masjid Ibrahimi kepada umat Islam sejak dua hari berturut-turut sepanjang sambutan perayaan tahun baharu Yahudi.

Menurut kenyatan Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Palestin, masjid bersejarah itu ditutup bagi memberi laluan kepada pendatang Yahudi menyambut tahun baharu mereka, Rosh Hashanah. Masjid juga akan ditutup pada hari Khamis bagi kaum Yahudi menyambut perayaan Yom Kippur.

Pengurus Masjid Ibrahimi, Munther Abu al-Feilat, mengecam keputusan rejim Zionis yang megharamkan orang Islam masuk mengerjakan solat, sedangkan para pendatang Yahudi dibenarkan menceroboh masuk. Tindakan itu jelas menunjukkan sikap angkuh dan tidak peduli kepada sentimen orang Arab dan umat Islam, bahkan satu bentuk pencabulan kebebasan untuk beribadah dan hak asasi secara serius. Ia merupakan penghinaan ke atas kesucian Masjid Ibrahimi.

Masjid Ibrahimi terletak di kota lama Al-Khalil, hanya beberapa ratus meter dari kawasan bandar yang diduduki secara haram oleh seramai 400 orang pendatang Yahudi. Mereka dilindungi oleh seramai 1,500 orang tentera Zionis.

Sejak tahun 1967 Masjid Ibrahimi, sepertimana tapak-tapak suci umat Islam yang lain di Palestin, menjadi sasaran tentera Zionis dan pendatang Yahudi.

Pada tahun 1994, masjid ini dibahagikan di antara orang Islam dan Yahudi, setelah berlakunya tragedi pembunuhan beramai-ramai ke atas para jamaah di situ.

Baruch Goldstein, pengganas Yahudi dari penempatan haram Kiryat Arba yang juga memegang pasport Amerika, melepaskan tembakan sehingga mengorban 30 orang yang sedang sujud solat Subuh dan mencederakan lebih 135 orang yang lain. Pada hari yang sama di luar kawasan masjid, tentera Zionis menembak ke arah para jamaah yang panik dan ketakutan, sehingga mengorbankan 10 lagi orang awam.

Berikutan insiden tersebut, Masjid Ibrahimi ditukar menjadi pengkalan tentera dan kemudiaannya dibahagi menjadi dua bahagian. Satu bahagian untuk orang Islam dan bahagian lain untuk kaum Yahudi. Oleh itu masjid ini menjadi pusat konflik dan ketegangan yang berterusan.

Hari ini, rejim Zionis mengawal sepenuhnya kemasukan ke dalam masjid. Para jamaah dihalang hadir mengerjakan solat secara kerap. Laungan azan juga sering diharamkan atas alasan ianya mengganggu pendatang Yahudi.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts