Menderita Kanser Kerana Bom Fosfor Putih, Randa Tidak Takut Mati

BANDAR BARU BANGI, 2 Jan 2013 — Persefahaman kerjasama di antara HALUAN Malaysia, Sahabat Al-Aqsha dari Indonesia dan Al-Sarraa Foudation dari Gaza untuk berganding bahu mengajak rakyat Malaysia dan Indonesia membangunkan sebuah hospital besar disambut dengan penuh syukur oleh para relawan HALUAN yang telah berkunjung ke Gaza bulan April 2012 lalu.

Berita tentang perancangan membangun sebuah hospital yang akan menjadi sebuah pusat rawatan kanser itu menyingkap kembali pengalaman para relawan HALUAN ketika berkunjung bersama relawan Sahabat Al-Aqsha bagi menyantuni pesakit-pesakit di Gaza yang menderita kerana tidak mendapat rawatan akibat embargo haram Zionis dan juga kekangan kewangan.

Pengalaman seorang ibu bernama Randa merupakan satu gambaran penderitaan yang dialami oleh ribuan anak-anak, wanita dan warga Gaza yang lain. Sila ikuti kisah beliau sebagaimana yang telah diceritakan oleh relawan Sahabat Al-Aqsha (SA), dan insafilah betapa saudara kita di Gaza amat menanti-nanti detik siapnya hospital sumbangan masyarakat Nusantara ini.

Randa bersama anak bongsunya, Maryam (Foto: SA)
Randa bersama anak bongsunya, Maryam (Foto: SA)

Randa duduk tenang berpeluk tubuh di sudut rumah seorang kawan, di suatu malam, di Bandar Gaza. Wajahnya yang manis terserlah cantik dari balik jilbab hitamnya. Matanya yang besar memancarkan sinar kesabaran seorang perempuan yang berjuang menahan sakit dan penderitaan kerana kanser yang menyerang payudaranya.

Dada perempuan berusia 39 tahun yang ditutupi jilbab dan kedua tangannya itu sudah “kempis.” Empat kali pembedahan serta 20 kali kemoterapi telah menyebabkan kempis dadanya. Pada pembedahan ke empat, bekas-bekas luka di payudaranya terpaksa ditampal dengan kulit dari pahanya.

Dalam pertemuan dengan relawan SA malam itu, ibu beranak lima itu sedang bersiap melakukan perjalanan lagi ke luar Gaza untuk memeriksa bengkak dan cairan baru yang menjelma di bekas operasi yang sama.

“Ke mana kau akan pergi memeriksa bengkak di bekas payudaramu, Randa?”

“Tel Aviv. Di hospital khusus untuk kanser,” jawabnya perlahan. Tenang.

Kenapa Tel Aviv? Itu “ibu kota Israel” yang sudah 64 tahun menjajah Palestin, membunuhi dan memenjarakan warga Palestin yang ada di Tebing Barat Sungai Jordan, yang mengebom, melancar roket dan merobek-robek tubuh bayi, anak-anak sampai nenek-nenek di Gaza! Bukankah pada pergantian tahun 2008 – 2009 lalu Zionis di Tel Aviv itu yang menghujani negerimu Gaza dengan segala persenjataan canggih yang mereka dapat dari Amerika Syarikat, menyiramkan bom fosfor putih yang dilarang oleh semua konvensyen antarabangsa, sehingga membunuh dan membakar begitu ramai rakyat Gaza?

Pada 22 hari 22 malam Perang Furqan itu, air, tanah dan udara Gaza dipenuhi serbuk putih beracun yang kemudian menyebabkan ibu-ibu keguguran, bayi-bayi cacat, dan orang-orang yang biasanya sihat seperti Randa kemudian menderita akibat kanser dan berbagai penyakit degeneratif ganas lainnya.

“Betul. Bahkan, aku mulai menderita kanser empat bulan sesudahnya. Doktor berkata kanserku disebabkan racun kimia dari bom fosfor putih itu,” kata Randa menghela nafas.

“Jadi kenapa kau masih nak berubat ke Tel Aviv?”

“Kerana tidak ada kemudahan perubatan untukku di Gaza sesudah Zionis mengepung kami selama lima tahun ini. Kau lihat sendiri, Gaza mengalami krisis bekalan elektrik dan ubat-ubatan,” jawab Randa. “Tidak ada hospital yang boleh menangani penyakitku di Gaza ini. Maka, Tel Aviv.”

“Kenapa tidak di Kaherah? Meskipun susah untukmu melintasi pintu sempadan Rafah (yang menghubungkan Gaza dengan Mesir), setidaknya kau tidak perlu berubat di tempat mereka yang membuat kamu, dan ramai orang Gaza lainnya, sakit!”

“Itu betul. Tapi Kaherah terlalu jauh. Perlu enam jam perjalanan dari Rafah ke sana. Aku masih punya anak-anak yang kecil, jadi aku tidak mungkin berubat ke Kaherah,” ujar ibu kepada Sarah (14 tahun), Usamah (13 tahun), Aya (11 tahun), Bilal (7 tahun) dan Maryam (5 tahun) itu.

 

Dihina

Bukan itu saja. Tel Aviv mungkin lebih dekat dari Gaza, tapi perjalanan melalui sekatan pemeriksaan tentera Zionis Israel yang harus ditempuh Randa untuk setiap kali berubat dengan ditemani seorang mahram perempuannya, sungguh tidak pernah mudah. Pada suatu ketika, tentera-tentera pengecut yang bertugas di salah satu sekatan pemeriksaan memaksanya turun daripada kenderaan untuk menggeledahnya.

Lazimnya, semua orang Zionis Israel takut kepada orang Gaza – daripada bayi hingga kepada nenek-nenek – dan mencurigai semua orang Gaza sebagai penyeludup senjata.

“Ku katakan, aku sakit. Aku ke Tel Aviv untuk berubat,” tutur Randa dengan nada biasa. “Tapi mereka tidak percaya. Aku katakan, aku ini sakit kanser! Mereka tidak percaya. Dengan kasar mereka menyuruhku turun. Lalu aku dibawa ke sebuah tempat, dan dipaksa membuka semua bajuku. Sampai salah seorang mereka melihat bekas-bekas luka di dadaku. Barulah dia sedar. Lalu berhenti menggeledah. Dan berkata, “I’m sorry’.”

Sabar

reej, salah seorang anak Gaza yang terkena kesan langsung bom fosfor putih. (Foto: SA)
reej, salah seorang anak Gaza yang terkena kesan langsung bom fosfor putih. (Foto: SA)

Ketika menceritakan penghinaan oleh tentera Zionis itu terhadapnya, Randa tidak bercucuran airmata dan meratap-ratap. Nada suaranya tidak jadi berubah. “Alhamdulillah, semua ini adalah kebaikan,” tuturnya. “Ujian dari Allah ini pasti ada hikmahnya. Insya-Allah ini membuat imanku lebih kuat, membuatku lebih bergegas mendidik dan membesarkan anak-anak jadi orang-orang terbaik.”

Randa dan suaminya, Abu Usamah, adalah dua orang penyabar dari begitu banyak orang sabar yang ditemui relawan SA di Gaza. Randa yang dilahirkan di Mesir pada tahun 1973 lalu dibawa hijrah oleh ayah ibunya ke Arab Saudi serta tinggal dan belajar di sana selama 20 tahun, mahir berbahasa Perancis. Keluarga Randa kembali ke Palestin pada tahun 1995 dan setahun kemudian Randa pun menikah dengan Abu Usamah, seorang pemuda yang bertugas sebagai seorang polis di Gaza.

Mereka tinggal di sebuah rumah kecil yang mereka sewa dengan harga US$350 sebulan. Sebelum jatuh sakit, Randa sibuk membantu suaminya mencukupi keperluan rumah tangga dengan membuka salon perawatan rambut. Allah menetapkan bahawa pada tahun 2008, beberapa ketika sebelum serangan Zionis Israel ke atas Gaza, Randa sempat mengikuti seminar kesihatan wanita dan belajar cara memeriksa payudara sendiri.

Pada November 2009, hanya beberapa bulan sesudah penyerangan dengan bom fosfor putih, Randa merasa ada sesuatu yang luar biasa di payudara kirinya. Dia terasa bengkak dan sesuatu yang mirip kelenjar cairan di situ. Abu Usamah membawanya ke hospital untuk pemeriksaan makmal dan pengimbasan. Mereka terpaksa berhutang untuk membayar seluruh kos pemeriksaan ini.

Kembali Lagi

Hasil pemeriksaan? Kanser. Randa perlu menjalani mastektomi – pembuangan seluruh payudaranya. Diikuti dengan kemoterapi. Dengan sabar, Randa menjalani semua proses yang menyakitkan itu. Dia yakin, tentu Allah merancang suatu yang terbaik. “Saya hanya berdoa bahawa Allah akan membalas semua yang saya alami ini dengan pahala yang besar dan beratnya timbangan kebaikan untuk kami di akhirat nanti,” tuturnya perlahan.

Tidak lama sesudah pembedahan, Randa berusaha kembali bekerja. Bahkan dengan lebih bersemangat kerana ingin segera membayar hutang-hutangnya. “Namun hanya dua setengah bulan sesudah pembedahan itu, saya mengalami kebengkakan cairan di tempat yang sama.”

Para doktor menjadi hairan betapa cepat berulangnya penyakit ini. Maka diputuskanlah pembedahan kali kedua, yang juga menelan kos yang sama dengan pembedahan yang pertama iaitu sekitar US$900. “Rasa sakit di dada sesudah pembedahan yang pertama belum lagi hilang, saya kini perlu dibedah lagi.”

Doktor mengesahkan Randa harus menjalani kemoterapi lagi. Masalahnya, pengubatan ini tidak ada di Gaza yang sudah bertahun-tahun mengalami krisis perubatan. Sebelum boleh berbuat apa-apa, Allah mentakdirkan bahawa kembali muncul bengkak cairan yang sebenarnya kanser itu di tempat yang sama dengan pembedahan yang kedua.

“Doktor di Gaza menyatakan, saya tidak mungkin diubati di sini. Tapi ada hospital yang memiliki perawatan lengkap… di Tel Aviv. Maka, mahu tidak mahu, saya harus pergi ke sana. Di sana, saya harus memulai semua proses ini dari awal, mulai dari pemeriksaan sampai pembedahan berikutnya.”

Randa pergi bersama salah seorang mahram perempuannya, kerana suaminya yang bertugas sebagai seorang anggota polis itu tidak mungkin boleh memasuki daerah Palestin yang dijajah Zionis Israel. “Doktor-doktor di Tel Aviv memutuskan untuk menjalani 20 sesi kemoterapi. Sakit luar biasa. Semua rambut, bahkan alis mata saya pun gugur habis.”

Beginilah cara tentera Zionis Israel menabur bom fosfor putih ke atas penduduk Gaza. (Foto: Kawther Salam)
Beginilah cara tentera Zionis Israel menabur bom fosfor putih ke atas penduduk Gaza. (Foto: Kawther Salam)

Sekitar tiga bulan sesudah kemoterapi, ketika bengkak berisi cairan itu mulai mengecil, dilakukanlah pembedahan yang ketiga. Namun Allah mentakdirkan bahawa tiga bulan selepas itu, terjadi lagi pembengkakan di tempat yang sama.

Subhanallah, Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang menghendaki semua ini, dan semoga Allah menjadikan semua ini sebuah jalan untuk menambah timbangan pahala bagi kami,” berkata Randa.

Maka doktor memutuskan untuk sekali lagi melakukan pembedahan – sedemikian rupa sehingga payudara Randa berubah menjadi leper yang bukan saja tipis dan cengkung malahan tidak cukup kulit untuk menutupi bekas pembedahan tersebut. Maka doktor mengambil jaringan dari paha Randa untuk “menampal” dadanya. Semua rasa sakit itu ditanggung Randa dengan berusaha terus sabar, termasuk ketika doktor menambahkan enam kali sesi kemoterapi lagi sesudah pembedahan keempat itu.

Pada 29 April 2012 yang lalu, ketika relawan SA masih berada di Gaza, Randa perlu kembali ke Tel Aviv untuk ujian makmal dan imbasan yang ke sekian kalinya.

Kanser itu ternyata sudah kembali lagi.

“Semoga Allah mengampuni kami,” ujar Randa.

Ketika laporan ini ditulis, di pertengahan Mei 2012, Randa sedang berada di hospital di Tel Aviv – menjalani pembedahannya yang kelima!

Terkubur Hutang

Ketika pengubatan di bulan Mei 2010, suami Randa memutuskan untuk membeli sebuah flat kecil di tingkat lapan sebuah bangunan di Bandar Gaza, agar tidak perlu lagi menyewa terus-menerus. Dananya dari mana? Dipinjam dari Bank Islam Palestin dengan cara murabahah – separuh gaji Munir dipotong setiap bulan untuk membayar secara ansuran harga rumah tersebut. Rumah baru itu akan dilunaskan pada tahun 2017.

“Sungguh tidak mudah, membiayai lima anak dengan separuh gaji sementara pengubatan saya juga luar biasa menelan belanja yang tinggi,” keluh Randa. Selama dua setengah tahun berubat, Randa terpaksa melakukan 43 kali perjalanan dari Gaza ke Tel Aviv, dan setiap kali perjalanan memerlukan dana setidaknya US$350.

“Sekarang ini, hutang kami sudah mencecah sampai belasan ribu dollar dan mereka yang memberi pinjam sudah mulai hilang kesabaran.”

Apakah Randa tidak ingin hijrah saja daripada semua keperitan ini dan meninggalkan Gaza? Dengan wajah seperti terkejut, Randa menggeleng. “Tidak! Ini tanah air kami. Ini rumah kami. Ini tanah yang diberkahi Allah.”

Sekarang ini, Randa dan suaminya merancang untuk menjual rumah mereka untuk membiayai mereka berdua pergi ke tanah suci Makkah Al-Mukaramah. “Kami ingin beribadah di sana, kami ingin minum air zamzam, dan insya-Allah di sana aku akan sembuh kerana kata Rasulullah SAW, zamzam memberikan manfaat sebagaimana diniatkan peminumnya.”

“Aku tidak takut mati, kerana aku percaya bahawa apa yang ada di sisi Allah adalah kebaikan yang abadi,” tutur Randa. “Aku hanya berharap bahawa sebelum mati, aku dan suamiku dapat pergi haji dan terbebas dari himpitan hutang-hutang yang akan mencegah langkah kami memasuki Syurga.”

Semoga pengalaman Randa ini dapat membawa kita menyelami kehidupan mereka yang terus menderita akibat kekangan kemudahan hospital dan sekatan Zionis. Bahkan Randa sangat bertuah kerana mendapat permit Zionis untuk keluar dari Gaza bagi mendapatkan rawatan. Ramai yang lain masih tetap dinafikan permit, bahkan ramai juga yang hanya mendapat permit setelah meninggal dunia.

Anda boleh membantu projek pembangunan hospital ini melalui “Tabung HALUAN Palestin” di Bank Islam Malaysia Berhad 14 023 01 003429 2atau Maybank Berhad 5644 – 9020 – 8528.

Bersatu Untuk Palestin!

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts