Mengenang 13 tahun kesyahidan Sheikh Yasin

GAZA, 22 — “Syeikh telah syahid! Syeikh telah syahid!,” para pemuda melaung dengan penuh kesedihan.

Sheikh Ahmed Yasin dilahirkan pada tahun 1938 di kejiranan Aljora, di kawasan kota Magdal yang sekarang ini masih dijajah oleh rejim Zionis dan ditukar namanya menjadi Ashkelon. Keluarga as-Syahid dipaksa berhijrah ke Gaza dalam peristiwa hitam Nakhba.

Tiga perkara yang benar-benar mengubah hidup beliau sehingga menjadi seorang tokoh perjuangan yang digeruni: pertama, beliau menjadi yatim apabila ayahnya meninggal dunia ketika umurnya belum melepasi tiga tahun. Kedua, dipaksa meninggalkan kampung halamannya dan beliau sentiasa terkenang untuk kembali, dan ketiga, satu insiden ketika kecil sehingga menyebabkan beliau lumpuh.

Sheikh Yasin sangat berpegang kepada hak asasnya sebagai seorang pelarian yang harus akhirnya dibenarkan pulang, sebagaimana sepatutnya dipegang oleh semua penduduk Palestin yang lain. Hak Untuk Kembali adalah suatu yang sangat penting bagi beliau, seperti mana kepentingan bagi manusia untuk dapat bernafas. Beliau sering mengulang-ulang bahawa isu Pelarian adalah satu yang sangat utama.

Sheikh Yasin membesar di beberapa buah kem pelarian di Gaza. Ketika berumur 12 tahun, beliau mengalami kecacatan apabila cedera di bahagian atas tulang belakang ketika bersukan. Leher beliau terpaksa diplaster selama 45 hari.

Beliau membesarkan seramai 11 orang anak di dalam sebuah rumah tiga bilik di pinggir Kota Gaza. Sheikh Yasin menamatkan sekolah rendah merancang untuk melanjutkan pelajaran dalam jurusan Kesusasteraan Inggeris ke Mesir, namun kekangan kewangan dan fizikal menghalang rancangan tersebut.

Sheikh Yasin kemudian menjadi seorang guru dan mengajar Bahasa Arab dan Agama Islam. Beliau merupakan seorang yang yang sangat tekun, mencontohi Guru Petamanya Rasulullah SAW. Oleh kerana akhlaknya yang baik dan kesediaan untuk membantu dengan mendengar masalah orang lain, semua orang menghormati beliau. Beliau lazimnya menyampaikan kelas tambahan selepas waktu sekolah.

Pada akhir tahun 1950-an, Sheikh Yasin menyertai Ikhwan al-Muslimun, yang ditubuhkan di Mesir, dan berusaha gigih menyebarkan kefahaman Ikhwan.

Pada tahun 1983, Sheikh Yasin ditangkap atas tuduhan menyimpan senjata dan menubuhkan sebuah pertubuhan bersenjata menentang rejim Zionis, serta menyeru masyarakat berjihad menentang Zionis. Mahkamah tentera Zionis menjatuhkan hukuman penjara selama 13 tahun ke atas beliau, namun dibebaskan dalam pertukaran tahanan pada tahun 1985.

Pada tahun 1987, Sheikh Yasin menubuhkan Hamas sebagai sebuah sayap pertubuhan Ikhwan. Hamas, yang bermaksud “semangat”, “keghairahan,” atau “kesungguhan”, adalah singkatan kepada Harakat al-Muqawama al-Islamiyya atau Gerakan Perlawanan Islam, tidak lama kemudian muncul sebagai sebuah parti politik terpengaruh di Palestin. Ia kemudian menubuhkan tiga cabang: satu sayap politik, sebuah unit perisikan dan satu sayap tentera. Hamas menyeru supaya penduduk Palestin menolak sekularism.

Pada tahun 1988, Zionis mengugut untuk membuang beliau ke Lubnan. Pada 18hb Mei 1989 Zionis menangkap Sheikh Yasin bersama ratusan ahli Hamas bagi memaksa gencatan senjata, tetapi gagal. Pada tahun 1989, Sheikh Yasin dijatuhkan bersalah mengarahkan penculikan dan pembunuhan dua orang askar Zionis. Beliau ditangkap atas hukuman tersebut dan dikenakan hukuman penjara seumur hidup oleh sebuah mahkamah tentera Zionis pada 16hb Oktober 1991.

Pada tahun 1997, Sheikh Yasin dibebaskan dari penjara dengan persetujuan kerajaan Jordan dalam kes kegagalan cubaan dua ejen perisikan Zionis Mossad untuk membunuh pemimpin Hamas, Khalid Mashal, di Jordan. Sheikh Yasin dibebaskan dan diserahkan kepada pihak berkuasa Jordan sebagai tukaran dua orang ejen Mosad yang ditangkap oleh pengawal Khalid Mishal.

Pada 13hb Jun 2003, rejim Zionis mengumumkan bahawa Sheikh Yasin dan semua pemimpin politik Hamas “tidak kebal” daripada pembunuhan di bawah rancangan sasaran mereka.

Tiga bulan kemudian pada 6hb September 2003, jet F-16 tentera udara Zionis menjatuhkan bom seberat satu-per-empat tan ke atas sebuah bangunan di Kota Gaza. Ketika itu, Sheikh Yasin berada di dalam bangunan tersebut dan beliau mengalami kecederaan ringan. Beliau dirawat di Hospital Shifa. Zionis kemudian mengesahkan bahawa Sheikh Yasin adalah sasaran serangan tersebut.

Pada 22 Mac 2004, helikopter tentera udara Zionis melancarkan tiga butir roket, sekaligus membunuh Sheikh Yasin ketika beliau sedang dibawa menaiki kerusi rodanya pulang dari mengerjakan solat Subuh di kejiranan Sabra, Kota Gaza.

Pembunuhan Sheikh Ahmed Yasin sepertimana juga pembunuhan killing Yahya Ayyash, Salah Shehada, Mahmoud Abu Hannoud, Ibrahim Al-Maqadema dan ramai lagi syuhadak sebelum ini tidak akan membawa sebarang bentuk keamanan kepada rejim Zionis. Benar, mereka boleh membunuh ramai orang awam lelaki, wanita, kanak-kanak dan warga emas. Tetapi tidak akan ada keamanan selagi mana tidak berakhir penjajahan Zionis ke atas tanah Palestin berdaulat.

Ketika upacara pengkebumian Sheikh Yasin, wanita turut turun ke padang secara beramai-ramai seakan-akan tidak kelihatan kaum lelaki. Sekiranya anda melihat kumpulan besar kanak-kanak pula, seakan-akan tidak kelihatan para remaja. Jika anda melihat kepada mereka yang bersenjata, kelihatan seolah-olah semua orang bersenjata. Bahkan sekiranya anda melihat kepada kumpulan warga emas, seakan-akan tidak kelihatan golongan muda. Begitulah kedudukan Syeikh Yasin dalam masyarakat Palestin.

Semoga Allah merahmati roh beliau dan menerima semua kebaikan amalan dan perjuangannya.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts