Merawati Luka Tersembunyi Dalam Kanak-Kanak Gaza

shimaGAZA, 10 Sept 2014 (UNICEF) — Pengalaman yang dilalui oleh Shima sangat mengerikan, apa lagi bagi seorang kanak-kanak kecil. Berdasarkan kepada apa yang diceritakan oleh bapanya Ibrahim, kisah bagaimana anak yang berumur empat tahun ini terselamat di bawah serangan ngeri tentera Zionis selama 50 hari ke atas bumi Gaza adalah suatu keajaiban.

Kisah pahit ini bermula sejak hari pertama kawasan bandar Beit Hanoun, iaitu tempat tinggal Shima bersama ibubapa dan dua lagi saudaranya, diserang sengit.

“Saya begitu bimbang tentang keselamatan keluarga,” kata Ibrahim. “Saya arahkan mereka segera bergerak ke kawasan pusat bandar di mana mereka akan dapat tinggal di rumah saudara kami. Saya berjanji akan mengekori mereka setelah mendapatkan beberapa dokumen dan barangan penting yang disimpan di rumah kami.”

Ibrahim sedar bahawa dia telah membuat satu keputusan yang salah.

“Setengah jam kemudian saya mendapat panggilan telefon daripada seseorang yang memberitahu keluarga saya telah tercedera dalam satu serangan jet Zionis. Saya berkejar ke tempat kejadian, dan mendapati isteri serta anak saya Mohammad, 14 tahun, telah terkorban. Shima dan kakaknya Aseer cedera parah. Aseer meninggal dunia di hospital empat jam kemudian.” Kecederaan Shima sangat parah, termasuklah pendarahan dalaman dan kerosakan buah pinggang. Dia terpaksa dibedah, tetapi apabila keadaanya bertambah runcing, dia telah dipindahkan ke sebuah hospital Zionis untuk rawatan selama 15 hari.

Dalam pada itu, serangan ke atas Gaza semakin sengit. Ibrahim terpaksa menumpang tinggal di sebuah sekolah bersama mangsa-mangsa lain. Ketika tempoh gencatan senjata sementara, Ibrahim kembali ke rumahnya untuk melihat apa yang telah berlaku. Apa yang dapat dilihat hanyalah runtuhan bangunan yang telah hancur ranap ke bumi.

Bila Shima pulang dari hospital, dia masih perlu melalui proses pemulihan yang sangat panjang. Shima dan bapanya berpindah ke sebuah rumah kecil di pusat bandar Gaza. Mereka berdua sekali lagi mengalami detik ngeri apabila hampir dihempap runtuhan dan serpihan batu dari sebuah apartmen berdekatan yang diserang jet Zionis.

 

Rentetan peristiwa mengerikan

Hari ini, Ibrahim dan Shima tinggal di sebuah rumah yang lebih terpencil, di mana keperitan mereka telah mendapat perhatian Centre for Democracy and Conflict Resolution (PCDCR), sebuah rakan NGO bagi UNICEF yang fokus dalam membantu kanak-kanak berhadapan dengan trauma.

“Shima telah melalui rentetan peristiwa yang mengerikan,” kata Rabee’ Mammoda, seorang kaunselor sokongan yang membantu Shima. “Dia telah menyaksikan kematian ibu dan adik-beradiknya. Dia sendiri mengalami kecederaan yang parah, dan kemudiaanya berhadapan dengan satu lagi kejadian yang sangat mengejutkan. Kanak-kanak seperti Shima memerlukan perhatian jangka panjang dan bantuan kaunseling daripada mereka yang pakar untuk membina semula hidup mereka.”

Ibrahim menyebut bahawa kesan apa yang berlaku ke atas anaknya adalah sangat menyedihkan.

“Dia akan berpaut kepada saya ke mana sahaja saya pergi, dan dia hanya tidur di atas riba saya. Dia tahu ibunya, kakak dan abangnya telah pergi, tetapi dia sering bertanya bila mereka akan pulang semula.”

Sejak bermulanya serangan pada awal Julai lalu, pasukan kecemasan PCDCR memberikan bantuan sokongan psikologi kepada lebih 5,000 kanak-kanak sepeerti Shima di Gaza.

 

Keperluan terdesak

Menurut ketua bahagian perlindungan kanak-kanak di UNICEF, Bruce Grant, kes seperti ini hanyalah merupakan sebahagian kecil daripada bentuk bantuan yang diperlukan.

“Terdapat sekurang-kurangnya 373,000 kanak-kanak yang sangat memerlukan sokongan psikologi, dan kita perlu bertindak segera untuk membantu mereka,” kata Grant. “Kita kesuntukan masa.”

Sementara tempoh gencatan senjata masih berkuat-kuasa, UNICEF dan rakan NGOnya mempercepatkan usaha mengenal- pasti keluarga yang paling memerlukan bantuan. Dalam tempoh empat bulan akan datang PCDCR dengan bantuan UNICEF akan memberi sokongan psikologi kepada 35,000 kanak-kanak dan 10,000 penjaga melalui aktiviti yang terancang dan kaunseling dalam bentuk perseorangan. Tanda-tanda tekanan yang sering dapat dilihat pada kanak-kanak termasuklah kencing malam, terus menerus bergantung kepada ibubapa dan mengigau.

Sekurang-kurangnya 494 kanak-kanak dilaporkan terbunuh dalam serangan tentera Zionis itu, manakala 2,101 yang lain tercedera. UNICEF sedang berusaha mengumpul dana sebanyak US$4.5 juta untuk menjalankan program sokongan psikologi, iaitu sebahagian daripada rayuan yang lebih besar untuk mengumpul US$12.5 juta untuk keseluruhan perancangan tindakan perlindungan kanak-kanak.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on email
Email

Related Posts