Muslim Dihalang Memasuki Masjid Ibrahimi

AL-KHALIL, 6 Apr 2015 (WAFA) — Masjid Ibrahimi ditutup kepada umat Islam pada hari Ahad dan Isnin atas alasan untuk memberi laluan kepada kaum Yahudi menyambut perayaan Passover yang berlangsung dari 3hb hingga 11hb April.

Masjid bersejarah itu hanya dibuka kepada kaum Yahudi dan penduduk Islam tidak akan dibenarkan masuk untuk mengerjakan solat sepertimana biasa. Yahudi dan penduduk Islam biasanya memasuki dua kawasan yang berbeza di dalam masjid ini, namun rejim Zionis menutup kemasukan orang Islam ketika perayaan Yahudi dan juga menghalang kemasukan Yahudi bilamana umat Islam menyambut perayaan.

Pengarah Masjid Ibrahimi, Hijazi Abu Sneineh, mendakwa tindakan rejim mengambil alih masjid ini merupakan satu bentuk serangan dan penodaan ke atas tempat suci umat Islam serta menodai kedaulatan umat Islam.

Masjid Ibrahimi terletak di kota suci Al-Khalil, hanya beberapa ratus meter daripada kawasan kota yang diduduki secara haram oleh 400 pendatang Yahuydi yang dilindungi oleh seramai 1,500 askar Zionis.

Sejak tahun 1967 Masjid Ibrahimi, sepertimana tapak-tapak suci umat Islam yang lain di Palestin, menjadi sasaran tentera Zionis dan pendatang Yahudi.

Pada tahun 1994, berlaku tragedi pembunuhan beramai-ramai oleh pendatang Yahudi ke atas jemaah yang sedang bersolat Subuh pada pertengahan Ramadhan di masjid tersebut. Berikutan tragedi yang mengorbankan 29 dan mencederakan lebih 135 ahli jemaah yang lain itu, Masjid Ibrahimi ditukar menjadi sebuah tempat kawalan tentera dan kemudiannya dibahagikan di antara orang Islam dan Yahudi. Sejak itu, masjid ini sering menjadi titik konflik dan ketegangan yang mencemari kesuciannya.

Hari ini, tentera Zionis mengawal sepenuhnya kemasukan ke dalam masjid, di mana para jemaah sering dihalang masuk dan laungan azan diharamkan.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts