Netanyahu Isytihar Perang Ke Atas Al-Aqsa – Sheikh Raed

AL-QUDS, 17 Sep 2015 — Pemimpin Zionis, Benjamin Netanyahu, telah mengisytiharkan perang ke atas Masjid Al-Aqsa, dan penodaan beliau ke atas masjid suci umat Islam itu merupakan permulaan kepada fasa terakhir dalam usaha mereka untuk membahagikannya.

Sheikh Raed Salah dalam kenyataannya semalam menyebut bahawa Masjid Al-Aqsa kini menyaksikan peperangan yang sebenar dalam perancangan pihak penjajah untuk memusnahkan masjid tersebut. Menurut beliau, Zionis sedang melaksanakan usaha akhir mereka untuk membahagikan Al-Aqsa, sebagaimana yang telah mereka lakukan ke atas Masjid Ibrahimi di Al-Khalil sejak 21 tahun lalu.

Sheikh Raed menyifatkan keadaan ini meletakkan identiti Arab dan Islam di Al-Quds dalam keadaan bahaya. “Keadaan ini menggugat hakikat kewujudan masjid ini,” kata beliau, yang juga dikenali sebagai Sheikh Al-Aqsa.

“Kini timbul ketegangan di Masjid Al-Aqsa dan kawasan sekitarnya. Keadaan ini tidak akan terhad kepada kota ini sahaja, tetapi ia akan memberi kesan kepada seluruh dunia,” kata Sheikh Raed. Beliau memberi amaran bahawa keadaan ini akan melahirkan kebangkitan baharu “intifadah yang sebenar” yang akan memberi kesan kepada keselamatan di seluruh rantau tersebut.

Sheikh Raed mengecam rejim Zionis yang mengambil langkah agresif dan terus menimbulkan provokasi ke atas penduduk Palestin dan umat Islam. Kata beliau, apa yang dilakukan oleh penduduk Palestin Islam di Al-Quds, khususnya di Masjid Al-Aqsa, adalah merupakan tanggungjawab mereka ke atas kota suci itu. Beliau menyeru semua pihak bersama-sama menyertai pembela Al-Quds menghalang kejahatan Zionis.

Beliau juga melahirkan rasa sedih atas sikap lemah dunia Arab dalam menangani tindakan Zionis ke atas Al-Quds dan Masjid Al-Aqsa.

(Al-Resalah)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts