Netanyahu Turut Lakukan Provokasi Dengan Lawatan Dekat Al-Aqsa

AL-QUDS, 16 Sep 2015 — Perdana Menteri rejim Zionis, Benyamin Netanyahu, pagi ini melakukan lawatan ke kejiranan Sur Baher yang terletak bersebelahan dengan Masjid Al-Aqsa. Kehadiran beliau dikawal ketat oleh pasukan keselamatan, sekaligus menimbulkan provokasi kepada umat Islam.

Ratusan pemuda berkumpul di sekitar Sur Baher untuk cuba menghalang kehadiran Netanyahu yang menyusuli serangan pasukan bersenjata Zionis ke atas Masjid Al-Aqsa dan para jamaah sejak empat hari lalu.

Pengarah Masjid Al-Aqsa, Sheikh Omar Kiswani, berkata lawatan pemimpin Zionis itu mengapi-apikan lagi suasana tengang dan menunjukkan sikap melampau dan sombong rejim Zionis.

Menurut Sheikh Omar, Masjid Al-Aqsa sejak empat hari lalu menyaksikan pertempuran di antara penduduk Palestin dan pasukan bersenjata Zionis yang cuba menghalang orang Islam daripada memasuki masjid, dan pada masa yang sama memberi laluan kepada pelampau Yahudi masuk dengan cara memprovokasi perasaan penduduk Islam.

Beliau menyeru supaya penduduk Palestin di Tebing Barat dan Al-Quds supaya bangkit mempertahankan kesucian Masjid Al-Aqsa.

Pada tahun 2000 Perdana Menteri Zionis ketika itu, Ariel Sharon, dengan dikawal lebih 1,000 orang polis Zionis melakukan lawatan ke Masjid Al-Aqsa dan membuat deklarasi bahawa kompleks masjid ketiga paling suci bagi umat Islam itu akan tetap berada di tangan rejim Zionis. Provokasi beliau menimbulkan kemarahan umat Islam sehingga melahirkan kebangkitan yang dipanggil Intifadah Kedua, atau dikenali juga sebagai Intifadah Al-Aqsa.

(Palinfo)

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on email
Email

Related Posts