OCHA: Rejim Zionis bunuh 295 penduduk Palestin sepanjang 2018

GAZA, 30 Dis 2018 — Pejabat PBB bagi Hal Ehwal Koordinasi Kemanusiaan (OCHA) mencatatkan seramai 295 penduduk Palestin terkorban dan lebih 29,000 yang lain tercedera diserang oleh tentera penjajah Zionis sepanjang tahun 2018.

Menurut laporan yang diterbitkan oleh OCHA hari ini, 57 daripada mangsa yang terkorban dan sekitar 7,000 yang tercedera adalah kanak-kanak di bawah 18 tahun.

Angka kematian tersebut merupakan kadar tertinggi dalam tempoh satu tahun sejak konflik di Gaza pada tahun 2014. Ia juga mencatatkan kadar kecederaan paling tinggi sejak OCHA mula merekod insiden serangan di wilayah Palestin pada tahun 2005.

Sepanjang 2018 juga, sebanyak 265 serangan dilakukan oleh pendatang Yahudi ke atas penduduk Palestin, menyebabkan kematian, kecederaan dan kerosakan harta. Serangan tersebut meningkat 69% berbanding tahun 2017.

Sementara itu, rejim Zionis telah meroboh atau merampas 457 buah struktur binaan termasuk rumah milik penduduk Palestin di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur. Tindakan tersebut menyebabkan 472 penduduk, termasuk 216 kanak-kanak dan 127 wanita, kehilangan tempat tinggal. Di Kawasan C sahaja, iaitu kawasan Tebing Barat yang dikawal sepenuhnya oleh tentera Zionis, lebih 13,000 arahan perobohan termasuk ke atas 40 buah sekolah masih menunggu untuk dilaksanakan.

Berkaitan Gaza, laporan OCHA menonjolkan sekatan darat, laut dan udara yang berterusan menyebabkan pendudukan hanya boleh ke luar negara berdasarkan kes-kes luar biasa.

(PIC)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts