
BAITULMAQDIS, 10 Dis 2018 — Pemimpin Zionis hari ini mengumumkan bahawa Oman akan membenarkan pesawat rejim Zionis, El Al, terbang melalui ruang udaranya.
Pengumuman tersebut merupakan susulan kunjungan mengejut beliau ke Oman pada bulan Oktober lalu, walaupun kedua-dua negara tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik.
Netanyahu dengan angkuh mendakwa negara-negara Arab kini tunduk kepada kekuatan kewangan dan teknologi Zionis. Beliau yakin Arab Saudi akhirnya akan tunduk kepada tekanan rejimnya dan membenarkan El Al menggunakan ruang udara negara tersebut.
Bulan Mei lalu, Oman dan Arab Saudi membenarkan Air India terbang di ruang udara mereka bagi penerbangan pergi dan balik dari Tel Aviv.
Bagaimanapun, Arab Saudi masih belum memberi kebenaran kepada pesawat El Al untuk melalui ruang udaranya, menjadikan kebenaran oleh Oman sekadar simbolik hubungan dua negara itu.
Netanyahu penuh yakin terhadap kemungkinan El Al boleh terbang melalui ruang udara Mesir, Chad dan juga Sudan, yang katanya akan membuka pasaran kepada suku bilion pengguna.
(PIC, MEMO)



