
AL-KHALIL, 27 Nov 2018 — Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan paramedik Ramzi Abu Yabes, 32, meninggal dunia selepas ditembak oleh tentera Zionis berdekatan persimpangan Gush Etzion di bandar Beit Ummar, utara kota al-Khalil, semalam.
Selepas kejadian, tentera Zionis menahan ambulan Palestin yang cuba membawa Ramzi ke hospital. Seorang anggota tentera melihat mesin cardiograf disambungkan kepada mangsa, dan mendakwa beliau sudah meninggal dunia. Pasukan tentera itu kemudian mengangkat mangsa keluar dari ambulan dan memasukkannya ke dalam karung plastik hitam. Ramzi dilarikan ke lokasi rahsia dengan sebuah jip tentera.
Ramzi, yang merupakan seorang bekas tahanan politik dalam penjara Zionis, berasal dari kem pelarian Dheisheh dan merupakan seorang ketua jururawat di Hospital Persatuan Rehabilitasi Arab di Beit Lahm.
Tentera Zionis mendakwa beliau cuba melanggar sepasukan tentera, di mana tiga orang anggota pasukan terbabit dikatakan cedera ringan.
Ramzi dilaporkan bergegas memandu ke tempat kerja beliau untuk membantu seorang pesakit.


(PIC, Maan, PNN)



