“Barangsiapa dari kalangan kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mengubah kemungkaran itu dengan tangannya. Andai tiada keupayaan, maka lakukan dengan lisannya. Andai tiada juga keupayaan, maka lakukan ia dengan hatinya. Dan demikian itu adalah selemah-lemah iman“; Muttafaq ‘alayh
Apabila kita berdepan dengan kemungkaran, dalam apa bentuk sekali pun, kita boleh bertindak dan memberikan reaksi dalam tiga bentuk. Sama ada kita bertindak mengecam dan mengutuk kemungkaran itu, bertindak mencegah, atau mengubah kemungkaran yang berlaku.
MENGECAM
Kaedah mengecam adalah kaedah yang paling mudah. Dunia tanpa sempadan hari ini memberikan banyak ruang kepada kita untuk menyalurkan kecaman, sebanyak mungkin. Kecaman tidak memerlukan banyak modal. Sama ada modal fikir, modal idea, modal dakwah, jauh sekali modal material yang menuntut pengorbanan.
Kecam tidak perlu kepada analisis. Melaporkan apa yang berlaku, dan mengharapkan massa memahaminya, tanpa sebarang analisis adalah apa yang saya maksudkan sebagai pendekatan mengecam. Kecaman mempunyai peranan yang tersendiri, iaitu untuk membangkitkan rasa memberontak dan menyatakan penentangan. Namun ia kurang bermanfaat bagi mereka yang mahu mengambilnya sebagai suatu kepedulian.
Mungkin inilah masalah yang membelenggu halaman-halaman web pro Palestin yang banyak kedapatan di internet. Anda akan bertemu dengan salinan berita yang di’cut and paste’ tanpa membekalkan analisa dan statistik yang berguna. Ini harus menjadi satu titik muhasabah mengapa lambakan berita itu tidak memberikan impak yang diharapkan. Ia hanya sebuah kecaman.
Apatah lagi media Malaysia yang bulat-bulat menterjemahkan sahaja apa yang dilaporkan oleh New York Times, Reuters, CNN dan yang seangkatan dengannya.
MENCEGAH
Kita juga boleh memberikan reaksi dalam bentuk mencegah secara defensif. Berusaha untuk menyelamatkan diri dan mereka yang berada di dalam tanggungan kita daripada terjebak ke dalam kemungkaran itu.
Kaedah ini mempunyai fungsi dan peranan yang tersendiri. Menjauhkan diri dari anasir-anasir Zionis yang turut membabitkan pemboikotan produk mereka, adalah sebahagian daripada teknik mencegah. Ia boleh menyelamatkan diri, menghalang diri dari terlibat dan menyumbang kepada kekuatan musuh dan melepaskan diri dari kewajipan peribadi.
Akan tetapi ia tidak akan menghalau pergi kemungkaran berkenaan, apatah lagi pada kekuatan Zionis yang mencengkam bumi Palestin. Ia akan terus duduk di situ dan menelan mereka yang gagal mencegah diri. Pemboikotan mendatangkan kejemuan apabila tindakan kita tidak setanding dengan keupayaan Amerika Syarikat menyumbang jutaan Dollar sehari kepada regim Zionis.
Lama kelamaan perbuatan kita mencegah kemungkaran hanya sekadar dalam format menyelamatkan diri sendiri, akan menjadi seperti seorang yang melindungi anaknya di dalam kandang harimau. Setelah penat, akhirnya kita kalah dan mati dibaham harimau, semata-mata kerana PUNCA masalah dibiarkan berleluasa.
Saya tidak bermaksud untuk memperkecilkan tindakan boikot, tetapi apa yang ingin ditegaskan adalah pada memaksimakan bantahan melalui strategi-strategi yang pelbagai. Ia harus lebih dari sekadar protes dan boikot.
MENGUBAH
Akan tetapi, hadith di atas meletakkan kerangka bertindak yang paling optimum sebagai reaksi kita kepada kemungkaran. Baginda SAW menggunakan perkataan (falyughayyirhu) dengan maksud mengubah. Kemungkaran bukan hanya perlu dikecam dan kita tidak hanya dituntut untuk menyelamatkan diri, namun agenda berdepan dengan kemungkaran mestilah berpaksikan kepada maksud MENGUBAH. Itu standard yang ditetapkan oleh Baginda SAW terhadap isu ini.
Apabila kemungkaran itu mahu diubah, pendekatan kita mestilah tepat dengan sasaran perubahan. Ia memerlukan kepada analisa yang tepat, dan mensasarkan penentangan kepada punca sebenar permasalahan yang ingin diperkatakan.
Di sinilah saya cuba mengajak hadirin untuk melihat semula bentuk usaha perjuangan tentang Isu Palestin yang ada di dalam masyarakat hari ini.
KELOMPOK SASAR
Isu Palestin mencakupi dua kelompok terpenting iaitu kelompok MANGSA dan kelompok PUNCA.
Kelompok mangsa yang saya maksudkan di sini adalah mereka yang menerima kesan langsung daripada kekejaman Zionis di bumi Palestin, iaitu penduduk Palestin yang terdiri daripada kaum Muslimin dan minoriti Kristian yang turut terkesan. Maka seruan untuk membela golongan ini, dilakukan dalam bentuk yang membangkit dan meniupkan semangat mereka untuk tidak mengaku kalah dan terus berusaha untuk keluar daripada belenggu kekejaman rejim Zionis.
Pendekatan mengecam dan mencegah jika dilakukan dengan baik, cukup memberikan impak untuk mengukuhkan barisan penentang, sama ada dari kalangan mangsa langsung, atau umat Islam sedunia yang turut menanggung kepedihan jenayah Zionis itu.
Manakala kelompok kedua adalah kelompok punca.
Pihak manakah sebenarnya yang menjadi punca kepada segala krisis yang membelenggu penduduk Palestin? Apakah rejim Zionis mampu bertindak sendirian berterusan menekan dan menindas? Kita semua tahu bahawa Zionis tidak mampu berdikari melainkan ada sokongan besar yang datang dari luar, tidak lain dan tidak bukan Amerika Syarikat.
“Kemudian, Kami kembalikan kepada kamu kekuasaan untuk mengalahkan mereka, dan Kami PERPANJANGKAN kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan dan anak pinak, serta Kami jadikan kamu kaum yang lebih ramai pasukannya.” (Al-Israa’ 17: 6)
Keterangan al-Quran bahawa keupayaan Zionis untuk melakukan kerosakan kedua di muka bumi, datang dari sumber yang diperpanjangkan, seharusnya menjadikan kita amat sedar tentang implikasi sokongan luar yang diberikan kepada Zionis.
Laporan http://www.ifamericansknew.org menjelaskan bahawa Israel menerima bantuan di antara 10 ke 15 juta US Dollar sehari daripada Amerika Syarikat. Jumlah ini mengatasi jumlah keseluruhan bantuan Amerika Syarikat kepada negara-negara Amerika Latin, Sub Sahara Afrika dan Carribean.
Kekuatan utama rejim Zionis di Palestin adalah sokongan Amerika Syarikat. Negara kuasa besar dunia itu berupaya memanipulasi kewangannya sendiri untuk memberikan sokongan dan bantuan kepada rejim Zionis hasil kombinasi beberapa pihak, khususnya media di Amerika Syarikat yang tidak melapor, melapor secara simplistik, atau memberikan laporan yang salah, untuk mengawal kefahaman penduduk Amerika Syarikat tentang isu Palestin.
Penduduk Amerika Syarikat adalah PUNCA UTAMA kepada keupayaan rejim Zionis di Palestin. Merekalah yang membayar cukai pendapatan sebagai sumber kewangan negara, merekalah yang memilih anggota Kongress dan Senat, dan seterusnya merekalah yang menentukan siapakah bakal Presiden Amerika Syarikat yang seterusnya, selaku pemain utama yang menentukan polisi luar Amerika Syarikat.
Oleh itu, segala usaha dilakukan untuk mengawal saluran maklumat kepada penduduk Amerika Syarikat, dan usaha ini dilakukan dengan teliti hasil kajian beberapa tangan pakar, iaitulah Orientalis yang berdiri di sebalik kabinet pemerintah Amerika Syarikat.
Orientalis inilah think tank yang mengajar media dan pemerintah, teknik-teknik memberikan impression kepada penduduk Amerika Syarikat tentang laporan isu Palestin dari semasa ke semasa.
Apabila reaksi kita terhadap kemungkaran ini diletakkan atas maksud MENGUBAH, maka perubahan itu tidak mungkin boleh berlaku, jika kita memprotes dengan bahasa yang tidak difahami oleh penduduk Amerika Syarikat. Bukan soal Bahasa Inggeris atau Arab, tetapi bahasa yang saya maksudkan di sini adalah pendekatan kita dalam menyuarakan bantahan.
Seandainya kita cuba mengubah pandangan penduduk Amerika Syarikat dengan bahasa yang menjadikan mereka sebagai musuh kita, setaraf dengan rejim Zionis itu sendiri, maka tindakan kita akan menjadi seperti menarik kucing di atas tikar. Makin kuat kucing ditarik, makin kuat kukunya mencengkam.
Mereka akan terus takut dengan suara kita yang memukul rata bahawa semua Yahudi dan Nasrani adalah musuh dan mereka harus diperangi. Akhirnya, mereka akan terus menyanggupkan diri membiarkan kerajaan menghabiskan duit negara sehingga lebih USD10 juta sehari demi untuk mengekang kebangkitan manusia Palestin, Arab dan Muslim yang dipaparkan sebagai ganas, barbarik dan sentiasa mencari peluang untuk mengancam mereka.
Penat lelah kita hanya berkeupayaan mengekalkan kemarahan umat Islam terhadap kezaliman rejim Zionis, tetapi jauh sekali untuk mempengaruhi dan mengubah pandangan penduduk Amerika Syarikat terhadap keadaan sebenar di Palestin. Hal ini terjadi kerana protes kita tersalah sasar.
Maka umat Islam perlu bangkit menyatakan bantahan, bukan hanya pada menyatakan kemarahan dan berdemonstrasi, tetapi turut mendedahkan strategi media Barat memanipulasi sebaran maklumat. Ia juga harus dikritik dengan tajam, dan kehebatan golongan Orientalis yang menjadi penasihat kerajaan dan media, mesti dipatahkan dengan keilmuan yang setanding.
Teknik yang digunakan oleh media Amerika Syarikat dalam melaporkan isu Palestin, mesti diteliti. Peranan golongan pemegang saham media Amerika Syarikat mesti dikenal pasti. Dan keupayaan mereka untuk menjayakan gagasan ini berakar umbi pada tradisi Orientalisma kerana Orientalisma adalah falsafah Barat mempersembahkan Timur.
“They cannot represent themselves, they must be represented” – Karl Marx, The Eighteenth Brumaire of Louis Bonaparte
“The East is a career” – Benjamin Disraeli, Tancred
Kita mesti buktikan kepada mereka bahawa kita TAHU apa yang mereka lakukan dan BAGAIMANA mereka melakukannya.
Kerana itulah, saya memilih tajuk Palestin dan Orientalisma, sebagai subjek yang dibentangkan di Darul Fuqaha pada 13 Mei 2007 untuk menyuluh hal ini. Perjuangan kita membantu Palestin hendaklah memanfaatkan usaha yang dilakukan oleh tokoh seperti Edward Said yang Kristian tetapi amat besar impaknya kepada polisi Amerika Syarikat terhadap Palestin. Perjuangan mendedah dan melaporkan kejahatan Zionis juga hendaklah mengambil manfaat dari contoh halaman web pro Palestin IFAMERICANSKNEW.ORG milik Yahudi di Amerika Syarikat yang pro Palestin (mereka digelar self-hated Jews!), dalam usaha mereka untuk mendedahkan konspirasi gergasi Barat membodohkan dunia, demi survival rejim Zionis.
Kita juga mesti mencari formula untuk memperkatakan tentang isu Palestin dalam bahasa global yang boleh mengajak mereka yang bukan mangsa dan bukan punca, untuk terbabit sama.
Golongan bukan Muslim di mana-mana, harus disedarkan dengan menggunakan pendekatan ini, bahawa isu Palestin bukan hanya isu Islam dan Arab, tetapi ia adalah isu kezaliman terhadap kemanusiaan yang terbesar, dalam sejarah kemanusiaan itu sendiri.
Konspirasi ini tidak boleh dijatuhkan dalam kerangka “Menjahilkan Diri Terhadap Musuh”. Jauh sekali retorik dan slogan semata-mata. Jauh sekali dari laporan media yang hanya berupaya melapor, tetapi tiada analisa yang boleh memberikan impak yang cukup untuk menangkis media Amerika Syarikat yang mainstream.
Kenali musuh untuk melemahkan mereka, jahilkan diri terhadap musuh untuk mensesiakan keletihan kita.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
12 Mei 2007