Pekerja Jabatan Wakaf diharamkan dekati Masjid al-Aqsa

AL-QUDS, 5 Apr 2017 (Maan) — Rejim Zionis hari ini mengeluarkan arahan mengharamkan sekurang-kurangnya lima penduduk Palestin, termasuk dua pekerja Jabatan Wakaf, daripada memasuki Masjid al-Aqsa untuk tempoh selama 30 hari hingga enam bulan.

Ketua unit penerangan di Jabatan Wakaf, Tareq Marwan al-Hashlamun, dan pengawal masjid, Hamzeh Nimr, dilarang memasuki tapak suci umat Islam itu selama enam bulan. Hamzeh pernah diharamkan memasuki al-Aqsa selama beberapa hari sebulan lalu.

Seorang ahli jemaah, Jamil al-Abbasi, ditangkap ketika berjalan keluar meninggalkan masjid dan dibawa ke balai polis Zionis di al-Qishla. Beliau kemudian diarah tidak mendekati al-Aqsa untuk tempoh empat bulan.

Ketua Jawatankuasa Keluarga Tahanan al-Quds, Amjad Abu Asab, dan beberapa yang lain turut dihalang memasuki al-Aqsa selama 30 hari.

Tentera Zionis kebelakangan ini meningkatkan tekanan ke atas pekerja Jabatan Wakaf yang bertanggung jawab menjaga dan menyelenggara masjid suci itu, di mana sebahagian daripada mereka dilarang memasuki kawasan masjid dan sebahagian yang lain ditangkap.

Dalam perkembangan berkaitan, empat pengawal Jabatan Wakaf kembali berkerja di Masjid al-Aqsa hari ini selepas diharamkan memasuki kawasan masjid selama beberapa hari.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts