Seorang pemain bola sepak Palestin, Muhammad Al-Lelee disahkan maut selepas rumah keluarganya di Gaza diserang oleh zionis.
Persatuan Bola Sepak Palestin telah mengesahkan kematian Al-Lelee yang merupakan pemain kelab Khadamat Al-Maghazi.
Jumlah anggota komuniti sukan Palestin yang terkorban sejak 7 Oktober 2023 kini meningkat kepada 585 orang, termasuk 265 individu daripada komuniti bola sepak.
Agensi berita rasmi, WAFA melaporkan, Al-Lelee mengalami kecederaan parah dikepala serta pendarahan teruk pada tengkorak selepas sebuah dron Israel melancarkan peluru berpandu yang mengenai bilik tidurnya pada Isnin.
“Selepas beberapa hari bertarung nyawa di hospital, beliau akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada pagi Khamis,” kata WAFA.
Ekoran kejadian itu, rakyat Palestin sekali lagi menggesa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) agar menggantung penyertaan Israel daripada sebarang pertandingan antarabangsa susulan perang berdarah yang berterusan di Gaza.
Dunia juga harus menekan FIFA kerana bersikap tidak adil kerana tidak menggantung Israel dalam sebarang pertandingan. Jika Rusia boleh dikenakan tindakan kenapa Israel tidak dihukum?



