Penceramah Gaza Jelajah Utara

SEBERANG PERAI, 18 Dis 2012 – “Kerajaan Gaza tidak pernah dan tidak akan bersekongkol dengan Amerika Syarikat (AS) sampai bila-bila!”. Demikian penegasan yang dibuat oleh Sheikh Ibrahim Saqar Ismail az-Za’im di Surau Taman Pauh Jaya untuk menjawab persoalan yang dikemukakan oleh salah seorang ahli kariah surau pada malam Isnin.

Sheikh Ibrahim Saqar, wartawan stesen TV al-Aqsa yang berpengkalan di Semenanjung Gaza, berada di Pulau Pinang selama tiga hari untuk berkongsi dengan rakyat Malaysia pengalaman dan juga situasi mutakhir di Gaza.

Tiga dalil dikemukakan untuk menyokong kenyataan beliau.

Pertama, AS telah meletakkan HAMAS, yang membentuk kerajaan yang sah di Gaza, sebagai sebuah organisasi teroris.

“Bagaimana mungkin AS akan bekerjasama dengan sebuah organisasi yang dianggap oleh mereka sebagai teroris?,” soal Sheikh Ibrahim.

Kedua, AS juga sentiasa menghalang sebarang usaha menyalurkan dana kepada kerajaan Gaza dari luar.

Terakhir, AS turut redha dengan tindakan sekutu mereka, rejim Zionis membunuh pemimpin-pemimpin HAMAS seperti Sheikh Ahmad Yasin, Abdul Aziz Rantissi dan yang terkini Ahmed al-Jaabari.

“Sekiranya mereka mahu berbaik dengan HAMAS, sudah tentu mereka tidak akan redha dengan tindakan yang dilakukan oleh rejim Zionis itu,” ujar beliau lagi.

Sebanyak RM3,550, USD30 dan sepasang gelang emas telah diinfakkan pada malam tersebut. Pengerusi Surau, Ustaz Zulkifli Dahlan menyerahkan kutipan tersebut kepada Sheikh Ibrahim selepas majlis tamat.

Sheikh Ibrahim turut mengisi slot kuliah dhuha di Sekolah Menengah Agama ‘Ibrah pada sebelah pagi hari Ahad dan ceramah Palestin di Masjid at-Taqwa, Taman Bertam Indah di Kepala Batas. Sejumlah RM1,700 telah diinfakkan oleh hadirin kuliah dhuha dan sebanyak RM2,717 pula telah diinfakkan di Masjid at-Taqwa.

Anda boleh terus menghulurkan bantuan melalui akaun “Tabung Palestin HALUAN” di BIMB 1402–30100–342–92 atau Maybank 5644-9020-8528.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan melalui talian 019-218 7861 atau 013 282 0731.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts