Penggalian terowongan berterusan di bawah Masjid al-Aqsa

AL-QUDS, 7 Jun 2016 (PIP) — Sejak beberapa tahun kebelakangan ini Masjid al-Aqsa diserang secara senyap-senyap oleh institusi dan badan Yahudi, samada yang ditubuh secara rasmi mahupun pertubuhan haram. Sebahagian daripada pertubuhan tersebut mendapat dana dari rejim Zionis sendiri dan juga badan zionis-kristian antarabangsa.

Sejak rejim Zionis mengharamkan Pergerakan Islam dan badan-badan pembela al-Aqsa secara rasmi pada 15 November lalu, badan dan institusi Zionis tersebut menjadi semakin angkuh.

Menjelang hari perayaan Paskah Yahudi baru lalu, pemimpin Zionis Benjamin Netanyahu mengeluarkan keputusan yang mengalu-alukan Yahudi menceroboh masuk Masjid al-Aqsa tanpa rasa takut dan bimbang.

Apakah rancangan pelampau Yahudi ini ke atas al-Aqsa?

Badan-badan “pembela kuil” yang berjuang untuk membina kuil mereka di atas runtuhan Masjid al-Aqsa kononnya mencari bukti pemilikan mereka ke atas tapak suci umat Islam itu, dengan menggali terowongan di bawah masjid al-Aqsa. Mereka anggap rancangan ini sebagai satu alasan arkeologi yang ilmiah, untuk membuktikan mitos hak mereka dengan berbagai tafsiran.

Pada 13 Mei lalu Netanyahu mengutus surat dengan nada yang bongkak dan mengecam Presiden Perancis François Hollande kerana mendukung UNESCO. Badan PBB itu tidak mengiktiraf sebarang kaitan Yahudi dengan mana-mana tapak yang ada di Masjid al-Aqsa. Dengan itu rejim Zionis menganggap langkah Perancis itu sebagai mempersenda sejarah dan berpihak kepada ideologi pelampau [Islam].

Bahkan mereka menganggap tuntutan umat Islam sebagai pemilik sebenar Masjid al-Aqsa adalah satu sikap melampau yang harus diperangi. Begitulah keangkuhan pemimpin dan penganut Zionis, sehingga menganggap tindakan kekerasan terhadap para jemaah solat di hadapan kamera TV, yang menyiarkan tindakan mereka secara langsung, sebagai tindakan seorang wira dan lagenda.
Tidak cukup dengan itu, Netanyahu menuntut supaya Perdana Menteri Perancis Manuel Valls meminta maaf atas sikap negaranya itu.

Surat Netanyahu itu sebenarnya menunjukkan sikap rejim yang ingin memaksa status quo masjid al-Aqsa berubah, untuk membahagikannya di antara penduduk Islam dan Yahudi, sebagai langkah awal perancangan pembangunan mitos Kuil Sulaiman mereka di atas tapak Kubah as-Shakra’ di perkarangan Masjid al-Aqsa.

Badan-badan “pembela kuil”, yang kini mencecah sebanyak 53 pertubuhan, mendesak agar kaum Yahudi dibenarkan melakukan ritual agama mereka di Masjid al-Aqsa, dan berusaha “membebaskan tapak kuil mereka dari penjajahan orang Islam.” Maka tugas utama badan-badan ini adalah untuk menyediakan pelampau Yahudi yang rela berjuang demi kuil mitos tersebut.

Rabbi yahudi mendakwa lokasi tepat kuil mereka adalah di tapak Kubah as-Shakra’. Setiap tahun mereka menghabiskan jutaan dolar untuk menjalankan agenda dan aktiviti mereka dalam bidang politik, budaya, media, pembinaan sera pengajian ilmiah sesuai dengan penetapan hukum Taurat yang mereka yakini berkaitan pembangunan kuil tersebut.

Terdapat hubungan rapat di antara pemerintah Zionis dan pertubuhan-pertubuhan kuil Yahudi ini. Pemerintah memberikan dana kepada mereka, di samping menyediakan kemudahan bagi mereka mengutip dana dari warga Yahudi. Mereka berhasil menembus masuk ke dalam Parti Likud yang memerintah, sehingga ramai penggerak parti tersebut secara terbuka menyokong gagasan pembanguan kuil Sulaiman ini, bahkan sering menuntut supaya Kubah as-Sakhra’ dirobohkan.

Penggalian di bawah Masjid al-Aqsa dan Kota Lama al-Quds bermula sejak 155 tahun lalu. Namun ia menjadi semakin hebat sejak Zionis menjajah kota al-Quds.

Di satu sisi, mereka ingin menguasai al-Aqsa dengan alasan untuk menjaga warisan bersejarah mereka. Untuk itu, mereka tanpa rasa bersalah telah merosakkan warisan sejarah Islam yang mereka temui ketika menggali terowongan bawah tanah.

Warisan Islam yang mereka temui kitu sangat indah dan meyakinkan. Sehingga sejak lebih 40 tahun lalu, pakar-pakar arkeologi Yahudi menyatakan tidak ada peninggalan atau warisan Yahudi – sesuai dengan pemahaman Talmud – di sekitar Masjid al-Aqsa. Apa yang mereka temukan adalah peninggalam Islam di zaman Umayyah dan Abasiyah, dan juga dari zaman Romawi dan Bizantium.

Di antara pakar Yahudi yang mengesahkan hal ini adalah Yesrael Vinskalstain dari Universii Tel Aviv. Pendapat beliau dikuatkan lagi oleh pengkaji Palestin Abdur Razzaq Matan, yang mendakwa bahawa apa yang dicari oleh Yahudi bulanlah sejarah mereka, tetapi hanyalah untuk membenarkan mitos sejarah dan memaksa status quo diubah. Oleh itu, penggalian akan diteruskan bagi memaksa diri menerima tanggapan mitos yang palsu itu.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts