Pergerakan Islam Diharamkan Di Seluruh Wilayah Palestin 1948

AL-QUDS, 17 Nov 2015 (IMEMC) — Kabinet Zionis memutuskan untuk mengharamkan Pergerakan Islam cawangan utara di seluruh wilayah Palestin 1948 yang terjajah.

Pengumuman yang dibuat oleh pejabat Perdana Menteri Zionis itu menyebut bahawa sebarang pertubuhan atau individu yang terkait dengan pertubuhan tersebut, atau didapati membantunya dalam apa bentuk sekalipun, akan disabitkan kesalahan jenayah dan boleh dihukum penjara.

Keputusan tersebut sekaligus memberi kebenaran kepada rejim untuk merampas semua harta atau tanah milik Pergerakan Islam.

Polis Zionis dengan kerjasama pihak perisikan menyerang 17 institusi dan pejabat yang terkait dengan Pergerakan Islam di Jafa, Nazareth, Kafr Kanna, Tur’an, Beersheba dan Rahat. Polis turut mengarahkan beberapa pemimpin, termasuk Sheikh Raed Salah dan Sheikh Kamal al-Khateeb, hadir untuk disoal-siasat.

Kabinet Zionis dilaporkan membuat keputusan pengharaman tersebut dua minggu lalu sungguhpun siasatan pihak perisik tidak menemui sebarang bukti untuk mengaitkan pertubuhan tersebut dengan ancaman keselamatan. Namun pengumumannya ditangguh bagi memberi masa untuk pihak polis dan perisikan Shin Bet bagi mengerahkan pasukan mereka dalam operasi menyerang pejabat-pejabat Pergerakan Islam cawangan utara itu.

Pergerakan Islam ditubuhkan pada tahun 1970-am untuk memberi khidmat berkaitan agama dan kebajikan kepada penduduk Palestin yang tinggal di dalam Wilayah 1948. Namun pada pertengahan tahun 1990-an mereka berpecah menjadi dua faksi, apabila faksi yang digelar cawangan utara yang dipimpin oleh Sheikh Raed Salah enggan menyertai pilihanraya Parlimen Zionis. Mereka mengendalikan pusat pendidikan, klinik, masjid, penerbitan akhbar dan juga kemudahan sukan.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts