Perkongsian Pengalaman Ke Gaza Tingkat Kesedaran Masyarakat di Pahang

KUANTAN, 19 Mei 2012 — Pengalaman menjejak kaki di Gaza dan melihat sendiri keadaan sebenar di bumi wakaf umat Islam itu telah dikongsi bersama masyarakat melalui program ceramah khas Perkongsian Misi Amanah HALUAN ke Gaza di beberapa buah masjid dan surau di daerah Kuantan dan Temerloh.

Ketua Biro HALUAN Palestin bagi HALUAN Cawangan Pahang, Tn Hj Abd. Bashir b. Abd. Ghani yang turut menyertai misi ke Gaza tersebut, giat mengadakan roadshow di beberapa buah masjid dan surau untuk berkongsi pengalaman berharga itu di samping mendapatkan sokongan rakyat Malaysia bagi membantu perjuangan rakyat Palestin membebaskan bumi barakah itu dari penjajahan Zionis Yahudi laknatullah.

Tn Hj Bashir menyampaikan perkongsian pengalaman di Surau Al Muhajirin
Tn Hj Bashir menyampaikan perkongsian pengalaman di Surau Al Muhajirin

Menurut Tn Hj Abd. Bashir, sambutan masyarakat adalah sangat menggalakkan, justeru kesedaran mereka terhadap isu Palestin semakin bertambah apabila mendapat gambaran sebenar apa yang berlaku di sana. Realiti kehidupan di Gaza yang dipaparkan melalui ceramah dan tayangan slaid dan video memaparkan sifat umat Islam di Gaza yang amat tinggi semangat jihad menentang pencerobohan dan sedia berkorban demi mempertahankan tanahair dan agama mereka.

Walaupun Gaza diserang secara berterusan oleh Zionis Yahudi, disekat segala bentuk bantuan dan dikepong dalam sebuah penjara terbuka terbesar di dunia, namun rakyatnya terus gigih dan kental membina kehidupan biarpun dalam serba kekurangan akibat catuan makanan, bekalan minyak, bekalan elektrik, bahan binaan bangunan dan ubat-ubatan.

Pun begitu, selama berada di Gaza para relawan HALUAN tidak menemui seorang pun peminta sedekah walaupun di kalangan anak-anak kecil. Mereka redha dengan kehidupan serba kurang ini dan sekali-kali tidak menjadi warga yang meminta simpati dengan kehadiran orang luar. Kekuatan iman masyarakat di Gaza sangat luar biasa, sehingga melahirkan rasa kasih sayang sesama mereka dan juga saudara seakidah tetamu dari luar.

Dalam siri ceramah beliau, Tn Hj Abd. Bashir turut menjelaskan bahawa para relawan HALUAN telah menerima amanah dari saudara seakidah di Gaza supaya menceritakan pengalaman yang diperolehi di Gaza kepada seluruh rakyat Malaysia yang cintakan Gaza, Masjid Al-Aqsa dan bumi Palestin seluruhnya. Mereka turut menyampaikan salam ukhuwah kepada rakyat Malaysia dan optimis bahawa semua umat Islam di dunia akan dapat menunaikan solat di Masjid Al-Aqsa suatu hari nanti hasil dari jihad dan perjuangan mereka di sini.

Turut ditekankan dalam sesi perkongsian itu adalah berkenaan usaha rakyat Palestin dan masyarakat prihatin seluruh dunia mendesak rejim zalim Zionis Yahudi membebaskan ribuan tahanan Palestin yang tidak bersalah, termasuk wanita dan kanak-kanak, dari penjara-penjara Yahudi.

Mengakhiri setiap ceramah, kutipan derma ikhlas bagi membantu perjuangan rakyat Palestin dilancarkan. Segala sumbangan derma yang diterima dari para dermawan akan disalurkan terus kepada rakyat Gaza dan pelarian-pelarian Palestin melalui kerjasama dengan beberapa NGO kebajikan di sana.

Menurut Tn Hj Abd. Bashir lagi, masyarakat yang mengikuti perkongsian pengalaman ini amat kagum dengan umat Islam di Gaza. Mereka berharap agar pihak HALUAN dapat mengatur program ziarah mahabbah ke Gaza dan memberi peluang juga kepada mereka untuk menyertai misi-misi yang sama di masa akan datang.

Mana-mana pihak yang ingin turut mengambil peluang perkongsian pengalaman ke Gaza ini boleh menghubungi Pejabat HALUAN Palestin di talian 03 783 15741 atau En Mus’ab Saari di talian 019 218 7861.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts