GAZA, 19 Nov 2017 — Pihak berkuasa Mesir membuka pintu lintasan sempadan di Rafah buat hari kedua berturut-turut, di bawah seliaan Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang mengambil alih kawalan pintu lintasan buat pertama kali sejak tahun 2007.
Semalam, hampir 652 penduduk Palestin termasuk 102 kanak-kanak dan pesakit dibenarkan keluar dari Gaza dengan menaiki 11 buah bas. Lebih ramai dijangka keluar hari ini.
Kira-kira 20 orang dihantar semula ke Gaza apabila tidak dibenarkan memasuki Mesir.
Seramai 600 penduduk Gaza yang terkandas dalam wilayah Mesir dibenarkan melintas dengan menaiki 24 buah bas dari jam 4:00 petang semalam hingga pagi ini.
Mesir memutuskan untuk membuka pintu lintasan Rafah selama tiga hari bermula Sabtu, bagi memberi laluan kepada kes-kes kemanusiaan termasuk pelajar, pesakit dan warga asing.
Persefahaman damai Fatah-Hamas mencadangkan supaya pintu sempadan dibuka 24-jam bermula 15 November. Namun ia ditangguhkan kerana situasi di Sinai yang tidak menentu.
(Sumber: PIC, WAFA)