Polis Zionis Tahan Kanak-Kanak 8 Tahun

Foto fail – Tentera Zionis menahan seorang kanak-kanak Palestin dalam insiden pertempuran di Al-Khalil.

AL-QUDS, 23 Julai 2015 (Maan) — Polis Zionis menahan dan menyoal siasat kanak-kanak Palestin Abdullah Imad Idkeik, 8 tahun, atas tuduhan membaling batu di sebuah kejiranan di Al-Quds Timur.

Abdullah ditahan ketika sedang bersama sekumpulan kanak-kanak hanya beberapa meter dari rumahnya di Ras al-Amud di kejiranan Silwan. Beliau disoal siasat berseorangan apabila ibunya dihalang daripada mengiringi kanak-kanak tersebut menaiki kenderaan polis menuju ke pusat interogasi. Beberapa orang pemuda cuba menghalang polis, tetapi mereka dihalau dari kawasan tersebut dan beberapa orang dipukul dengan baton.

Ibu dan bapa saudara kepada Abdullah dilarang daripada memasuki balai polis di mana beliau ditahan. Ibunya terpaksa menunggu di luar dan hanya dibenarkan masuk menemui anaknya di bilik interogasi setelah menunggu selama satu setengah jam.

Menurut ibu Abdullah, penyiasat Zionis membuat provokasi dengan memberitahu bahawa “anaknya tidak beradab dan harus diajar berakhlak, dan beliau (ibu) bersikap seperti ISIS.” Beliau menambah, anaknya hanya dibebaskan dengan syarat ibunya menanda tangani satu dokumen yang menyatakan bahawa anaknya tidak layan dengan kasar atau diserang, dan anak tersebut ditahan berseorangan hanya dalam tempoh 10 minit.

Laporan pertubuhan hak asasi Addameer menunjukkan sekitar 700 orang kanak-kanak Palestin didakwa oleh polis Zionis setiap tahun. Pada tahun 2014, 93% kanak-kanak yang ditahan dinafikan hak mendapat nasihat guaman, manakala sebahagian lagi terpaksa berada dalam tahan bersendirian dalam tempoh yang lama.

Sehingga 31 Mac 2015, seramai 182 kanak-kanak Palestin ditahan di penjara Zionis termasuk 26 orang di bawah umur 16 tahun. Mereka lazimnya didakwa atas tuduhan membaling batu, yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts