Rakyat Kelantan teruja dengan nasihat dan seruan tokoh ulama Palestin

Penasihat Kanan Rabithah Ulama Palestin, Syeikh Abu Bakr, pernah 6 kali terperosok di penjara Israel. Beliau di tangkap atas tuduhan mengajar pemuda-pemuda Palestin tentang Islam. Di penjara Israel, beliau telah disiksa sehingga menyebabkan beliau buta.

Antara kata-kata dalam ucapan pengenalan yang dizahirkan oleh Sheikh Abu Bakr adalah bahawa beliau sangat mencintai kita umat Islam di Malaysia kerana Allah, kerana kita semua adalah Muslim. Beliau memuji nenek moyang kita kerana memeluk Islam dengan menggunakan aqal dan bukannya kerana paksaan. Kemasukan nenek moyang kita ke dalam Islam adalah atas usaha dakwah yang telah dijalankan oleh para pendakwah terdahulu.

Justeru sebagai sebahagian dari umat Islam, beliau mengajak kita sama-sama berjihad membantu saudara-saudara kita di bumi Palestin. Kita di sini dapat menjalankan ibadah puasa dalam keadaan yang aman damai. Namun saudara-saudara kita di sana berada dalam keadaan yang keperitan yang amat sangat.

Menurut beliau, jihad mempunyai pelbagai kategori, iaitu jihad dengan harta, jihad dengan ilmu, jihad dengan tenaga, dan yang tertingginya ialah dengan nyawa. Beliau menekankan agar kita juga boleh melakukan jihad dengan banyak berdo’a. Do’a menurut Rasul SAW adalah senjata mukmin dan juga adalah ibadah. Maka kita perlu banyak berdo’a agar Allah SWT membantu perjuangan Islam di Palestin.

Sheikh Abu Bakr juga membawa mesej dan pesanan dari wanita-wanita Palestin khusus kepada wanita-wanita Islam di Malaysia. Antara pesanan dari para wanita Palestin berbunyi, “Kami telah korbankan suami-suami kami dan anak-anak kami dengan syahid berjuang pada jalan Allah. Kami rela menjadi balu dengan mengorbankan suami-suami kami. Kami rela kehilangan anak-anak kami demi membebaskan Palestin dan Al Quds. Kami telah merelakan rumah-rumah kami musnah kerana dihancurkan oleh Zionis laknatullah. Kami rela untuk bertahan di sini demi mempertahankan bumi ambiya’ ini.”

“Persoalannya kepada anda wahai para wanita di Malaysia, apakah sumbangan anda? Apa yang akan anda jawab di hadapan Allah SWT di akhirat nanti, dalam usaha membantu perjuangan Islam di Palestin?,” sambung beliau.

Sheikh Abu Bakar adalah dalam rangka lawatan ke Malaysia dengan beberapa siri ceramah dan penerangan di masjid dan surau sempena program “Ramadhan Bersama Ulama Palestin” yang dikendalikan oleh Biro HALUAN Palestin dengan kerjasama Bahagian KESUMA, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM.) Di Kelantan, sebanyak 6 perjumpaan telah berjaya diadakan, dengan kerjasama dan sokongan padu Cakna Palestin Kelantan. Sejumlah 6 lokasi ceramah Palestin telah diadakan, iaitu di:

  1. Kuliah subuh di Masjid Kg. Pendek yang disampaikan oleh Pengerusi HALUAN Palestin, Tn. Hj. Noorazman Shamsudin,
  2. Kuliah Subuh di Masjid Mukim Langgar, Kota Bharu yang disampaikan oleh Syeikh Abu Bakr,
  3. Kuliah Mingguan YAB Dato’ Menteri Besar Kelantan yang disampaikan oleh Syeikh Abu Bakr,
  4. Kuliah Selepas Solat Jumaat di Masjid Sultan Yahya Petra, Machang disampaikan oleh Syeikh Abu Bakr,
  5. Kuliah bersama Mahasiswa di Kolej Teknologi Darulnaim oleh Syeikh Abu Bakr, dan
  6. Tazkirah Selepas Tarawih di Kariah Perkarangan Stadium Kota Bharu yang juga disampaikan oleh Syeikh Abu Bakar.

Rakyat Kelantan begitu teruja dengan pesanan, nasihat dan seruan yang telah disampaikan oleh 2 orang tokoh ulama Palestin ini.

HALUAN Kelantan dan HALUANPalestin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Cakna Palestin Kelantan dan Kerajaan Negeri Kelantan di atas kerjasama dan sokongan yang di berikan. Semoga Allah berkati usaha kita semua.

Pemuda HALUAN juga mengucapkan terima kasih di atas sokongan yang diberikan oleh kepimpinan HALUAN Kelantan, dan semua yang mencurah bakti bagi memastikan program berjalan dengan lancar.

Jutaan terima kasih juga kepada Mamu, bekas DJ radio Manis FM kerana turut membantu, juga kepada Hj Abu Samah dan En. Nazri dari Sekretariat Cakna Palestin kerana memberi ruang kepada HALUAN untuk mendidik dan berbakti. HALUAN Kelantan juga mengucapkan terima kasih kepada Ridel Hotel kerana sudi menaja majlis berbuka puasa para tetamu istimewa ini. Semoga Allah memberikan ganjaran yang sewajarnya atas bantuan anda sekalian.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts