Ramadhan 1435H Bersama Huffaz Palestin, Syria & Kemboja

Ramadhan adalah bulan yang penuh rahmat, keberkatan dan keampunan daripada Allah s.w.t. Setiap orang yang beriman, samada kanak-kanak mahupun dewasa, lelaki atau wanita akan berlumba-lumba meraih kebaikan ini. Kita amat yakin bahawa walaupun setiap amal yang diusahakan itu mungkin tidak begitu kelihatan manfaatnya di dunia ini, tetapi mengharapkannya benar-benar memberi pulangan yang berganda-ganda di akhirat kelak.

Ramadhan kali ini sekali lagi bakal memberi pengalaman yang sangat bermakna kepada masyarakat Malaysia apabila seramai 20 orang huffaz al-Quran dari Palestin, Syria dan Kemboja akan bersama-sama mengimarahkan solat terawih di tempat-tempat terpilih sepanjang Ramadhan. Program ini dianjurkan oleh HALUAN Malaysia melalui Biro HALUAN Palestin dan Biro Misi Kemanusiaan HALUAN dengan mendapat sokongan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Usaha buat tahun keempat berturut-turut ini merupakan sebahagian daripada usaha meningkatkan kesedaran dan penglibatan masyarakat Islam di Malaysia terhadap tanggungjawab mereka ke atas permasalahan yang melanda umat Islam, terutamanya keadaan Masjid al-Aqsa yang sedang dijajah dan diancam oleh Zionis.

Kita harapkan kehadiran mereka di sini dapat mencapai objektif berikut:

  • Melahir semangat kesatuan umat Islam dari pelbagai latarbelakang dan pengalaman serta saling membantu dalam mentaati Allah SWT dan menghayati Ramadhan serta al-Quran.
  • Menyampai maklumat terkini tentang permasalahan umat Islam, terutama berkenaan Masjid al-Aqsa yang sedang dijajah dan diancam oleh Zionis.
  • Memberi kesedaran kepada masyarakat Malaysia terhadap tanggungjawab mereka ke atas Masjid al-Aqsa dan saudara seakidah yang sedang berhadapan dengan pelbagai kemelut kemanusiaan.
  • Mengumpul dana sempena Ramadhan yang penuh barakah bagi menjayakan projek-projek bantuan di Palestin, Syria dan juga kem-kem pelarian yang menempatkan umat Islam.

Sesungguhnya kehadiran para huffaz ini merupakan satu bentuk penghargaan dan balasan (reciprocate) rakyat Palestin, Syria dan Kemboja kepada keprihatinan rakyat Malaysia membantu mereka selama ini.

Melalui program ini, para huffaz antara lain akan menyampaikan tazkirah atau penerangan tentang perkembangan umat Islam di negara mereka di samping berkongsi pengalaman dengan masyarakat kita bagaimana mereka mendekati al-Quran. Pelbagai program diatur oleh pihak penganjur, antara lain

  • Solat tarawih berimamkan huffaz jemputan ini
  • Sesi tazkirah dan penerangan di surau, masjid, pejabat dan juga sekolah, dan
  • Bengkel penghayatan al-Quran samada secara individu atau berkumpulan.

 

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts